PM seru kesepakatan Keluarga Malaysia kepada semua Ahli Parlimen | DagangNews Skip to main content

PM seru kesepakatan Keluarga Malaysia kepada semua Ahli Parlimen

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyampaikan ucapan sulung yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen nasional, petang tadi.

 

 

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Dalam usaha memulihkan negara kita, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru agar seluruh Ahli Dewan Rakyat baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang untuk bersama-sama mengembleng tenaga dan mencari titik persamaan bukan perbezaan demi kesepakatan sebagai satu keluarga, Keluarga Malaysia.

 

''Berasal daripada keluarga petani yang susah, saya menjiwai kesusahan dan keperitan rakyat dalam mencari mata pencarian di waktu sukar ini. Saya akan memastikan agar sistem kesihatan negara kembali stabil agar rakyat tidak lagi terbeban,'' dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di televisyen nasional, petang ini.

 

''Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sedang berlangsung akan terus dirancakkan demi menuju sasaran imuniti kelompok. Kesungguhan para ‘frontliner’ dan kerjasama semua rakyat Malaysia amatlah saya hargai. Sempena Bulan Kemerdekaan tahun ini, kerajaan bersetuju untuk pembelian tambahan sebanyak 6 juta dos yang akan diterima menjelang September,'' katanya lagi.

 


Perdana Menteri berkata, dalam usaha mengembalikan ekonomi rakyat dan menjana ekonomi negara secara menyeluruh, penglibatan anak muda amat diperlukan.

 

''Oleh itu, saya akan memastikan suara anak muda didengari dan dikaji secara terperinci,'' kata Ismail Sabri.

 

''Bukan itu sahaja, pendekatan kebersamaan yang saya bawa ini juga menjemput kepimpinan pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19. Inilah masanya kita bermuafakat demi negara tercinta.

 

''Saya berikrar menghasilkan yang terbaik demi membuktikan kepercayaan rakyat kepada pasukan saya tidak dipersiakan. Ke arah tekad yang satu, bekerja bersama rakyat! Saya membulat tekad, BEKERJA BERSAMA RAKYAT!,'' ujar beliau. - DagangNews.com