PM setuju PRU15 diadakan tahun ini, kata Mahdzir | DagangNews Skip to main content

PM setuju PRU15 diadakan tahun ini, kata Mahdzir

Barisan Top 5 UMNO, (Dari kiri) Naib Presiden, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin​​​​​​ mengadakan mesyuarat di Menara Dato Onn, di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 30 September 2022. - Gambar Facebook Mahdzir Khalid

RANTAU PANJANG 1 Okt - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah menyatakan persetujuannya untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada tahun ini.

 

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, persetujuan itu dinyatakan Perdana Menteri dalam pertemuan membabitkan lima kepemimpinan tertinggi atau 'Top 5' UMNO semalam.

 

"Menerusi pertemuan semalam, kita berbincang mengenai perkara berkaitan PRU, macam-macam isu dibangkitkan daripada segi calonnya, duit, jentera dan macam-macamlah.

 

“Secara asasnya, Perdana Menteri juga sudah bersetuju PRU-15 diadakan tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Jelajah Mini Karnival Keluarga Malaysia Felcra Berhad 2022 di Padang Kampung Batu Karang di sini, hari ini.

 

Semalam, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO membuat ketetapan untuk mengadakan PRU15 tahun ini.

 

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dalam sidang akhbarnya berkata, susulan keputusan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

 

Mengenai persiapan UMNO bagi menghadapi PRU15, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, persiapan parti kini mantap dan sudah bersedia untuk menghadapinya.

 

 

mahdzir
Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika berucap merasmikan Jelajah Mini Karnival Keluarga Malaysia Felcra Berhad 2022 di Padang Kampung Batu Karang, Rantau Panjang, Kelantan pada 1 Oktober 2022.

 

 

Lima pemimpin tertinggi UMNO atau lebih dikenali 'Top 5' malam tadi mengadakan mesyuarat yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato Onn, diikuti mesyuarat MKT.

 

Lima pemimpin yang menghadiri pertemuan itu terdiri Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Ismail Sabri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Mahdzir. - DagangNews.com