KUALA LUMPUR 9 Sept - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menzahirkan ucapan takziah dan rasa sedih kepada seluruh kerabat diraja baginda dan rakyat United Kingdom (UK) atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Ismail Sabri menerusi ciapan di Twitternya berkata, beliau berharap keluarga diraja baginda dan rakyat terus tabah menghadapi dugaan ini.
"Mewakili seluruh Keluarga Malaysia, saya menzahirkan ucapan takziah dan rasa sedih kepada seluruh kerabat Diraja Baginda, kerajaan dan rakyat United Kingdom atas kemangkatan Ratu Elizabeth II.
"Baginda yang juga pemerintah paling lama dalam sejarah dunia terkenal dengan sifat yang dedikasi dalam menjaga kebajikan rakyatnya," katanya.
Katanya, jasa baginda mengekalkan hubungan baik UK dan negara-negara seluruh dunia termasuk Malaysia sentiasa diingati dan dihargai.
Ratu Elizabeth II, raja paling lama berkhidmat di UK, telah meninggal dunia di Istana Balmoral pada usia 96 tahun, selepas memerintah selama 70 tahun.
Ratu mangkat dalam keadaan aman pada petang Khamis di estet Scotlandnya, tempat baginda menghabiskan sebahagian besar musim panas.
Pemerintah tertua di dunia itu dilaporkan menghidap 'episodic mobility problems' sejak hujung tahun lalu. - DagangNews.com