PM ucap takziah atas pemergian mendiang Dr James Jemut Masing | DagangNews Skip to main content

PM ucap takziah atas pemergian mendiang Dr James Jemut Masing

PUTRAJAYA 31 Okt - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengucapkan salam takziah buat seluruh keluarga Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, yang meninggal dunia awal pagi tadi.

 

''Pemergian mendiang satu kehilangan yang besar kepada negeri Sarawak dan negara.

 

''Mendiang merupakan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat, berpandangan jauh dan berwibawa. Jasa dan pengorbanan mendiang pasti akan dikenang sampai bila-bila.

 

''Saya mewakili kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan semoga diberikan kekuatan serta kesabaran menghadapi saat duka ini,'' kata Perdana Menteri dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Berita kematian Masing diumumkan oleh kerajaan negeri Sarawak menerusi Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) sebentar tadi. 

 

Masing meninggal dunia kira-kira jam 7 pagi tadi (Ahad) akibat komplikasi jantung ketika dirawat di Pusat Perubatan Normah Sarawak di Kuching.

 

Ujian COVID-19 ke atas jasad mendiang mengesahkan keputusan adalah negatif.

 

Masing merupakan veteran politik yang amat disegani.

 

Beliau yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri pada era pemerintahan Tan Sri Adenan Satem dan Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

 

Selain itu, Masing turut memegang portfolio Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan.

 

Berusia 72 tahun pada 5 Mac lalu, Masing dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 28 September sebelum ditidurkan apabila komplikasi semakin teruk.

 

Pada minggu lalu, beliau dipindahkan ke Pusat Rawatan Pakar Normah untuk rawatan lanjut.

 

Sebelum itu, pada 31 Mei, adiknya Jantai Masing juga meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19.

 

Masing yang merupakan graduan Victoria University mula terlibat dalam politik pada 1983 apabila menjadi ADUN Baleh atas tiket Parti Bansa Dayak Bersatu.

 

Sejak itu, beliau bertahan di kerusi tersebut selama sembilan penggal, termasuk tiga penggal atas lambang PRS.

 

Antara jawatan yang pernah dipegang beliau sebelum ini adalah sebagai Menteri Kemajuan Tanah, Menteri Pembangunan Sosial dan Urbanisasi serta Menteri Pelancongan.

 

Difahamkan, mayat mendiang akan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak sebentar lagi untuk urusan bedah siasat. - DagangNews.com