KUALA LUMPUR 17 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat kejutan apabila menziarahi seorang remaja yang menderita kanser tulang tahap empat di kediamannya di Kota Warisan, Sepang.
Nurshazrina Suryanto yang berusia 15 tahun, dahulunya seorang remaja yang aktif bersukan, namun diuji dengan satu cabaran besar dalam hidupnya yang dalam keadaan separa lumpuh.
Perdana Menteri berkata, Shazrina baru sahaja diagnosis kanser pada bulan Oktober tahun lepas dan kini menjalani rawatan setiap bulan.
"Allah uji tanda Allah sayang. Hari ini saya dipertemukan dengan adik Nurshazrina Suryanto di kediamannya di Kota Warisan, Sepang.
"Adik Nursyazrina merupakan seorang penghidap kanser. Dia pernah memberitahu bapanya mengenai impian untuk bertemu dengan saya. Bapanya menyampaikan hasrat itu kepada setiausaha politik saya.
"Alhamdulillah, hari ini saya dapat merealisasikan impian adik Syazrina dengan membuat lawatan mengejut ke rumahnya. Terkejut dan teruja adik melihat kehadiran saya.
"Sebelum pulang, adik bersungguh hendak bangkit dan berjalan bersama saya. Saya sememangnya bimbang akan keadaannya namun dia tetap mahu menghantar saya ke kereta. Begitu kuat semangat adik," kata Perdana Menteri menerusi Facebook rasmi beliau.
Ismail Sabri turut mendoakan remaja itu diberi kesembuhan, kesejahteraan dan kelapangan serta mencapai cita-citanya kelak.
Selepas menziarah Nurshazrina, Perdana Menteri meluangkan masa singgah ke pasar malam di kawasan tersebut.
Ismail Sabri turut memuji keenakan kesemua juadah di pasar malam itu.
"Sedap-sedap semuanya juadah di pasar malam di Kota Warisan, Sepang. Antaranya apam balik, ‘potato spring’ dan lauk-pauk masakan kampung.
"Selepas itu, singgah di kedai makan Warisan Pak Long bersama rakan-rakan dan penduduk setempat.
"Petang Sabtu yang sangat menceriakan bukan sahaja dapat bersama peniaga-peniaga kecil kita, malah dapat menyantuni Keluarga Malaysia secara dekat dan melihat sendiri aktiviti harian masyarakat di sekitar Kota Warisan. #KeluargaMalaysia," katanya. - DagangNews.com