PN ikrar teruskan pembangunan penempatan Felda, kata Muhyiddin | DagangNews Skip to main content

PN ikrar teruskan pembangunan penempatan Felda, kata Muhyiddin

Oleh Liza Abdullah Yusuf

SUNGKAI 14 Okt – Perikatan Nasional (PN) akan meneruskan perjuangan membangunkan penempatan Felda seperti yang termaktub dalam manifesto parti yang dilancarkan baru-baru ini.

 

Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ketika menjadi Perdana Menteri bermula Mac 2020, banyak program pembangunan Felda sudah dirancang namun tidak dapat dilaksana kerana beliau  terpaksa meletakkan jawatan kesan pergolakan politik.

 

'‘Sepanjang saya menerajui negara, kerajaan ketika itu membuat keputusan berani dengan menerbitkan sukuk jaminan kerajaan berjumlah RM9.9 bilion bertujuan melupuskan hutang Felda bernilai RM8.3 bilion.

 

“Selain melangsaikan hutang, terbitan sukuk itu juga dimanfaatkan untuk menstruktur semula pengurusan Felda bagi membolehkannya lebih berdaya saing di pasaran,” katanya.

 

Beliau berkata demikian pada program Sembang Santai bersama warga Felda Besout di sini, semalam.

 

 

Muhyiddin

 

Muhyiddin

 

 

Muhyiddin berkata, sekiranya PN diberi mandat sekali lagi sudah semestinya pembangunan diteruskan dengan memperkasa generasi muda Felda.

 

“Ini bukan cakap kosong, misi membangunkan Felda diterjemah pada manifesto dan PN yakin mampu melaksanakan,” katanya.

 

PN akan mewujudkan satu jawatankuasa khas bertujuan memantau perkembangan program pembangunan yang tertera dalam manifesto. Laporan berkenaan akan diaudit sepanjang tempoh pemerintahan.

 

Kerajaan PN berteraskan Prihatin, Bersih Stabil akan memperkasa Felda menerusi pendekatan khusus iaitu  menggagaskan wawasan Felda Baharu bagi menjamin masa depan generasi muda.

 

Ini termasuk mewujudkan peluang ekonomi baharu keusahawanan serta menambah baik infrastruktur asas termasuk capaian internet dan rumah mampu milik. 

 

PN juga yakin dapat menyelamatkan projek  perumahan generasi baharu Felda yang terbengkalai dan berpotensi untuk dibaik pulih. Inisiatif lain termasuk memperkenalkan skim keusahawanan Felda bagi menggalakkan penglibatan usahawan muda dalam aktiviti pertanian bernilai tinggi melalui penggunaan teknologi terkini dan automasi.

 

Memulihkan Felda supaya prestasinya setanding syarikat perladangan kelapa sawit berprestasi tinggi bagi menjamin kesejahteraan peneroka. – DagangNews.com