PNB lancar ASN Equity Global, lebih 740 juta unit telah dilanggan | DagangNews Skip to main content

PNB lancar ASN Equity Global, lebih 740 juta unit telah dilanggan

Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria (kiri) dan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn (kanan) melancarkan ASN Equity Global sempena Minggu Saham Digital 2021 hari ini.

 

 


KUALA LUMPUR 18 Nov - Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), hari ini secara rasmi melancarkan dana unit amanah harga berubah terbaharu, ASN Equity Global. 

 

Dana ASNB pertama yang memfokuskan sepenuhnya kepada ekuiti global ini menawarkan peluang kepada semua warga Malaysia untuk mempelbagaikan pelaburan mereka dalam pasaran antarabangsa.

 

Setakat 15 November 2021, lebih 740 juta unit telah dilanggan melibatkan lebih 14,000 pelabur sejak ASN Equity Global mula ditawarkan pada 1 September lalu.

 

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, ASN Equity Global merupakan usaha ASNB untuk memperkenalkan konsep pelaburan kontemporari yang menepati cita rasa pelabur yang ingin mendapatkan pulangan menerusi pasaran ekuiti global. 

 

Katanya, pelaburan dalam dana ini juga sesuai bagi pelabur yang mempunyai tahap risiko tinggi dan menginginkan pulangan lebih tinggi dalam jangka masa panjang.

 

“Para pelabur boleh memantau prestasi pelaburan mereka dengan mudah di portal dan aplikasi myASNB serta perbankan internet, dan mereka turut menikmati caj jualan yang lebih rendah," katanya.

 

Beliau berkata demikian sempena pelancaran dana itu pada Minggu Saham Digital 2021 (MSD 2021) hari ini yang disempurnakan Pengerusi Kumpulan PNB, Tun Arifin Zakaria hari ini.

 

pnb
PNB mula menawarkan ASN Equity Global pada 1 September lalu dan dilancarkan secara rasmi hari ini.

 

 

Sempena penganjuran MSD 2021 bermula 17 hingga 23 November 2021, ASNB tidak akan mengenakan sebarang caj jualan untuk semua pelaburan melebihi RM1,000 dalam dana-dana harga berubah melalui portal dan aplikasi myASNB. 

 

Pelabur yang berminat boleh mendapatkan khidmat nasihat berkaitan pelaburan ASN Equity Global dan dana harga berubah lain daripada pegawai kewangan bertauliah di 32 pejabat cawangan ASNB dan lebih 2,700 cawangan ejennya. 

 

Ini termasuk maklumat tentang keseluruhan portfolio pelaburan yang disediakan dan panduan bagaimana mengenal pasti jenis dana yang sesuai mengikut tahap toleransi risiko masing-masing. - DagangNews.com