KUALA LUMPUR 13 Jun - Syarikat teknologi kewangan (fintech) Islam global, Wahed Inc. mengumumkan pelantikan Paul Pogba sebagai pelabur selain duta jenama tersebut bersama bintang UFC, Khabib Nurmagomedov bersama pasukan seni mempertahankan diri campurannya.
Pogba yang memulakan karier bola sepak pada usia enam tahun, merupakan pemain Manchester United dalam Liga Perdana Inggeris dan juga Perancis.
Paul Pogba dan Ketua Pegawai Eksekutif Wahed, Junaid Wahedna, bertemu pada September 2021 dan menemui titik persamaan dalam misi Wahed untuk menjadikan pelaburan beretika mudah diakses dengan kos berpatutan, yang seterusnya mengukuhkan perkongsian pemain bola sepak tersebut dengan syarikat teknologi kewangan Islam global ini.
Pemain tengah itu berkata, selepas memahami misi Wahed, beliau berhasrat menjadi sebahagian daripada usaha syarikat tersebut kerana selama ini membesar dalam persekitaran yang tidak mempunyai akses kepada cara yang selamat untuk menguruskan wang serta mengembangkan pelaburan.
"Saya berharap perkongsian saya dengan Wahed akan membantu menunjukkan kepada golongan muda bahawa terdapat cara untuk melabur dengan cara yang betul dan adalah bijak untuk mula memikirkan matlamat kewangan jangka panjang pada awal kehidupan,” katanya.
Junaid berkata, Wahed kini menawarkan individu peluang untuk melabur wang mereka secara beretika dengan cara yang cepat, mudah dan berpatutan.
Syarikat itu mendapat sokongan secara berterusan sejak penubuhannya dengan lebih 300,000 pelanggan di seluruh dunia.
“Pogba merupakan pemimpin berprestasi tinggi dalam industrinya, yang sesuai dengan visi dan misi apa yang kami cuba capai.
"Kami mengalu-alukan penyertaan beliau sebagai duta jenama baharu Wahed sambil kami akan terus berusaha ke arah merealisasikan ekosistem kewangan yang lebih adil,” katanya. - DagangNews.com