Pokok 135 tahun di Taman Tasik Taiping, ditegakkan semula | DagangNews Skip to main content

Pokok 135 tahun di Taman Tasik Taiping, ditegakkan semula

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

TAIPING 1 Mac - Pokok hujan-hujan (samanea saman) berusia 135 tahun di Raintree Walk, Taman Tasik Taiping di sini, yang tumbang berikutan kejadian ribut pada 22 Februari lalu telah ditegakkan semula.

 

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Khairul Amir Mohamed Zubir berkata, pokok terbabit diselamatkan dengan cara menegakkan semula pokok dengan sebahagian dahannya dipangkas serta bahagian akar dan tanahnya dirawat.

 

"Pokok berkenaan telah ditegakkan semula dengan arborists bertauliah (CA) pada kelmarin.

 

"Seperti mana yang dilaporkan, pokok tersebut tumbang kerana ketidakseimbangan struktur pokok yang telah condong ditambah dengan berlakunya ribut pada hari kejadian," katanya ketika mempengerusikan mesyuarat penuh MPT, semalam.

 

Sebelum ini, beliau berkata, pokok berkenaan dalam pemantauan pihaknya dan akan diselenggara untuk tempoh 12 bulan sehingga ia pulih termasuk penyediaan sokongan penampan oleh MPT dalam waktu terdekat.

 

 

mpt

 

 

"Bagi mengutamakan keselamatan awam, kawasan sekeliling pokok sudah ditutup dengan pita keselamatan dengan orang ramai dinasihatkan tidak melakukan sebarang aktiviti di kawasan itu bagi mengelakkan kerosakan kekal pada pokok itu.

 

 

mpt

 

 

"MPT akan memastikan pokok itu akan segera diselamatkan sebaik mungkin," katanya.

 

 

mpt

 

 

Sementara itu, dalam mesyuarat berkenaan, beliau berkata, sebanyak 125 murid sekolah rendah dan menengah menerima bantuan Jom Kembali ke Sekolah daripada MPT menjelang pembukaan semula sesi persekolahan pada bulan hadapan.  

 

 

mpt

 

 

mpt

 

Katanya, ia merupakan usaha bagi membantu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan.

 

"Ia dalam usaha MPT dalam menjayakan Program Local Agenda 21 (LA21) dan mencapai objektif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi membantu keluarga-keluarga kurang berkemampuan," katanya. - DagangNews.com