POMIS tingkat kecekapan operasi kilang sawit FGV | DagangNews Skip to main content

POMIS tingkat kecekapan operasi kilang sawit FGV

 

 

KUALA LUMPUR 16 April – FGV Holdings Berhad, melalui anak syarikat dan cabang teknologinya, FGV Prodata Systems Sdn Bhd (FGV Prodata), memodenkan pengurusan operasi kilang sawit melalui pelaksanaan Sistem Bersepadu Kilang Sawit yang juga dikenali sebagai Palm Oil Mill Integrated System (POMIS). 

 

Sistem ini menawarkan penyelesaian menyeluruh bagi pemantauan operasi kilang sawit secara bersepadu dan automatik.

 

Sehingga kini, sebanyak 66 daripada 67 kilang sawit FGV menggunakan POMIS untuk meningkatkan lagi kecekapan operasi mereka. 

 

POMIS dilengkapi dengan sensor berasaskan teknologi pintar dan sistem automasi terkini untuk meningkatkan pengawasan, pemantauan dan pengendalian operasi harian kilang sawit serta sistem komunikasi yang lebih baik.

 

Pengarah Bahagian Sektor Perladangan Kumpulan FGV, Syed Mahdhar Syed Hussain berkata, tuntutan untuk mempercepatkan perjalanan IR4.0 Malaysia sangat penting dalam meningkatkan prestasi dan produktiviti kumpulan FGV.

 

“Sejajar dengan perkembangan IR4.0, integrasi teknologi sangat diperlukan dalam industri kelapa sawit yang dikenali secara tradisionalnya menggunakan tenaga buruh yang meluas dalam operasi. 

 

"Dengan adanya POMIS, kilang-kilang sawit FGV dapat beroperasi dengan lebih baik dan mencapai kapasiti yang dikehendaki secara konsisten dan sistematik. Ia juga menyumbang kepada amalan perkilangan yang lebih lestari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

POMIS membolehkan pihak pengurusan membuat keputusan penting dengan lebih baik berdasarkan analisis data operasi yang dihasilkan setiap hari. 

 

Selain itu, ia juga memastikan persekitaran kerja yang lebih selamat kerana sistem ini dilengkapi dengan ciri keselamatan yang membantu mengurangkan kemalangan ditempat kerja.

 

Malah, POMIS juga membantu mengurangkan kebergantungan tenaga kerja manusia dalam operasi kilang sebanyak 5% hasil daripada perlaksanaan automasi. 

 

Ini terbukti bermanfaat terutamanya ketika pandemik, di mana kilang terus beroperasi dalam mod automatik dan hanya sebilangan kecil pekerja diperlukan. 

 

Sistem ini juga mengurangkan penggunaan bahan bakar sebanyak 15% untuk pembakaran dandang, yang seterusnya menyumbang kepada pelepasan karbon yang lebih rendah.

 

Sebelum pelaksanaan POMIS, proses kilang sawit seperti pensterilan, kawalan pembakaran dandang, motor dan suhu stim dipantau secara manual oleh pengendali. 

 

Dengan POMIS, proses tersebut dapat dilakukan dengan pemantauan secara terus dari skrin monitor yang disediakan.  - DagangNews.com