Pop Mart perluas operasi Asia Tenggara, buka cawangan pertama di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pop Mart perluas operasi Asia Tenggara, buka cawangan pertama di Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Mei - Syarikat hiburan berasaskan watak pemimpin pasaran terkenal dengan kotak misterinya, Pop Mart terus mengembangkan sayap operasi globalnya dengan pembukaan gedung terbaharu di Asia Tenggara. 

 

Jenama tersebut mengalu-alukan penyertaan cawangan runcit terbaharunya dengan pembukaan rasmi gedung Pop Mart pertama di Malaysia di tingkat lima pusat beli-belah Pavilion, Bukit Bintang di sini baru-baru ini.

 

Presiden Pop Mart Global, Justin Moon berkata, pembukaan gedung Malaysia membuka lembaran baharu dalam perluasan perniagaan di Asia Tenggara. 

 

Katanya, Malaysia berpotensi besar sebagai sebuah pasaran utama bagi pihaknya selepas Singapura.

 

"Kedua-dua negara mempunyai budaya tempatan yang sebanding dan juga pasaran pengumpul koleksi mainan seni yang agak besar. 

 

"Kami boleh memanfaatkan pencapaian kami di Singapura untuk membina operasi di Malaysia, dengan potensi meluaskan perniagaan ke negara-negara jiran yang lain," katanya dalam kenyataan.

 

Menurut Moon, pihaknya bercadang untuk terus meluaskan pasaran dengan membuka lebih banyak gedung fizikal dan mesin layan diri di lokasi-lokasi utama di Malaysia, selain daripada saluran dalam taliannya. 

 

 

popmart
                                             Justin Moon

 

 

popmart

 

Katanya, sejak melancarkan perniagaan globalnya pada 2018, Pop Mart sentiasa memberi keutamaan kepada pasaran Asia Tenggara. 

 

"Bagi kebanyakan jenama China yang menceburi pasaran luar negara, Asia Tenggara adalah salah satu daripada pasaran utama.

 

"Negara-negara Asia Tenggara telah mencatatkan pertumbuhan ekonomi pesat, penggunanya mempunyai kuasa beli yang besar dan ruang pasarannya agak luas," katanya.

 

 

popmart

 

 

popmart

 

 

Dalam pada itu katanya, tahap pelaburan yang tinggi disertakan sokongan kukuh bagi perusahaan yang dibiayai pelabur asing telah mewujudkan persekitaran perniagaan yang mantap.

 

"Pasaran Asia Tenggara ialah pasaran yang patut diterokai, dari segi potensi perniagaan di dalam atau di luar talian. Kami bermula di Singapura dan kini menceburi pasaran Malaysia. 

 

"Kami berharap untuk terus meluaskan pasaran kami di Asia Tenggara dan membina rangkaian jualan di dalam dan di luar talian, dengan menyesuaikan sepenuhnya kepada budaya tempatan," katanya. - DagangNews.com