KUALA LUMPUR 31 Okt - Restoran makanan segera Malaysia, Pop Meals meraikan ulang tahun ke-2 menerusi penganjuran peraduan 'Snacks & Ladders' dengan menawarkan hadiah wang tunai lebih RM122,222 kepada pelanggan setia mereka.
Peraduan itu turut menawarkan ganjaran hadiah berupa iPhone 14 Pro dan tawaran hidangan sepanjang tahun
Untuk mengambil bahagian, pengunjung hanya perlu memesan melalui aplikasi Pop Meals atau mengunjungi laman web www.popmeals.com.my.
Setiap hidangan melayakkan mereka untuk melemparkan dua dadu pada permainan Snacks & Ladders untuk mendapat peluang memenangi hadiah menarik itu.
Dalam pada itu, sempena ulang tahun restoran makanan segera tersebut, ia turut menyaksikan peningkatan sebanyak 81% kadar pelanggan setia mereka.
Sejak dibuka pada November 2020, jenama makanan segera Malaysia itu telah menyediakan lebih daripada 2 juta hidangan menerusi 32 cawangan miliknya.
Jenama ini bertuah kerana popularitinya semakin meningkat disebabkan hebahan daripada mulut ke mulut dan daripada pelanggan setia mereka yang terus menyokong pembelian produk tersebut.
Pengurus Besar Pop Meals, Shaik Ali Bajunid berkata, 8 daripada 10 pelanggan Pop Meals kembali semula dalam beberapa hari ke cawangan mereka untuk membeli hidangan seterusnya dan kebanyakan pelanggan baharu itu mengetahui berkenaan jenama itu daripada keluarga dan rakan mereka.
“Situasi ini amat menggalakkan kami kerana industri makanan segera di Malaysia sangat kompetitif dan pengguna tempatan mempunyai persepsi bahawa makanan segera itu biasanya adalah hidangan seperti piza, burger dan ayam goreng.
"Tidak banyak yang akan berfikir menu seperti Mac & Cheese, Ayam Buttermilk Telur Masin atau Nasi Ayam Kicap Sambal Gesek apabila mereka bercakap berkenaan makanan segera. Perbezaannya disini adalah jenama Pop Meals menyajikan makanan segera lazat dicipta khas untuk rakyat Malaysia dengan kaedah penyediaan yang pantas” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shaik Ali berkata, pihaknya perlu menawarkan sesuatu yang sangat istimewa untuk meraih perhatian orang ramai, dengan mencipta menu yang didorong sepenuhnya oleh pengumpulan data dan maklum balas pelanggan.
"'Hidangan POPular' diminta oleh pelanggan dan dilancarkan pada 'carta Pop', kemudian memasuki ranking menu makanan yang ditawarkan di mana-mana kawasan kejiranan. Kedudukan menu adalah bersifat dinamik dan berubah berdasarkan populariti terkini.
"Pelanggan kemudian mengundi untuk menentukan sama ada hidangan itu kekal pada carta atau dibawa keluar daripada carta menu. Ribuan pelanggan turut meninggalkan maklum balas setiap hari melalui aplikasi kepada chef penyelidikan dan pembangunan (R&D) Pop Meals, agar mengambil langkah berterusan menambah baik hidangan supaya menu kegemaran mereka kekal di Carta Pop.
"Ini adalah salah satu cara Pop Meals mewujudkan jenama yang lari daripada identiti rangkaian restoran makanan segera terkemuka," katanya.
Katanya, pelanggan akan teruja untuk terus membuat pembelian kerana ganjaran adalah bermusim dan nilainya semakin tinggi apabila semakin banyak pembelian yang dibuat mereka.
"Ulang tahun kedua kami akan menjadi pemberian terbesar dengan lebih daripada RM122,222 ganjaran diberikan dalam masa sebulan sahaja termasuk iPhone 14 Pro dan tawaran hidangan sepanjang tahun," tambahnya. - DagangNews.com