Portal MyAssist MSME dapat sambutan menggalakkan, jana RM9.7 juta potensi jualan | DagangNews Skip to main content

Portal MyAssist MSME dapat sambutan menggalakkan, jana RM9.7 juta potensi jualan

Rizal Nainy
Rizal Nainy

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Portal yang dibangunkan khas oleh SME Corp. Malaysia, MyAssist MSME mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan akses lebih 50,000 pengunjung.

 

Portal berkenaan adalah untuk membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendapatkan khidmat nasihat perniagaan, membuat janji temu dengan Kaunselor Perniagaan terlatih dan menyertai sesi pemadanan pernigaaan secara dalam talian. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy yang memaklumkan perkara itu memberitahu, menilai kepada sambutan yang diterima, portal berkenaan mencatatkan potensi jualan sejumlah RM9.7 juta.

 

"SME Corp. Malaysia akan terus komited di dalam memastikan kelangsungan PKS di masa yang mencabar ini. 

 

"Dikala satu dunia dilanda pandemik COVID-19, PKS perlu memanfaatkan perkhidmatan yang ada di dalam portal ini bagi meneruskan kelangsungan perniagaan secara norma baharu.

 

"Selain itu, SME Corp. Malaysia juga akan terus menyokong rancangan pemulihan kerajaan melalui pelbagai inisiatif termasuk pelaksanaan program pembangunan dan fasilitasi," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Portal MyAssist MSME dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 30 Jun lalu.

 

Datuk Suriani Datuk Ahmad
Datuk Suriani Ahmad

 

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Suriani Datuk Ahmad memberitahu, portal berkenaan merupakan satu platform khidmat nasihat perniagaan sehenti buat PKS. 

 

Katanya, portal berkenaan bukan sahaja membantu PKS mengadaptasi pendigitalan, bahkan juga mendapatkan khidmat nasihat serta peluang perniagaan mengikut norma baharu.

 

"PKS perlu berani untuk berubah terutamanya cara berniaga mengikut norma pasca COVID-19. PKS juga perlu cuba meningkatkan keterlihatan di dalam platform dalam talian," ujar beliau lagi.

 

Maklumat lanjut berkaitan Portal MyAssist MSME boleh layari pautan www.myassist-msme.gov.my. - DagangNews.com