Pos Malaysia lancarkan setem NFT pertama negara | DagangNews Skip to main content

Pos Malaysia lancarkan setem NFT pertama negara

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Sept - Pos Malaysia Berhad mengeluarkan setem non-fungible token (NFT) pertama negara, menjadikannya penyedia perkhidmatan pos kedua di Asia Tenggara yang menyediakannya selepas Thailand.

 

Inisiatif itu merupakan kerjasama antara kumpulan itu bersama jenama tempatan A Piece of Malaysia (Apom), di bawah projek tahunan #Empatbelas bersempena Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, dan Hari Malaysia pada 16 September.

 

Pos Malaysia berkata, setem NFT edisi terhad boleh ditebus, percuma dengan setiap pembelian set folder setem #Empatbelas Setem Ku edisi khas, yang mengandungi helaian setem fizikal 14 setem yang direka oleh artis yang mewakili setiap negeri di Malaysia.

 

Katanya, 3,000 set setem yang ada dijual pada harga RM59 setiap satu secara dalam talian atau melalui pembelian runcit di kaunter setem dan kaunter filateli pejabat pos Kuala Lumpur mulai Khamis, manakala pembelian di pejabat pos terpilih lain hanya boleh dibuat bermula 12 September 2022.

 

Selepas pembelian itu, pengumpul mempunyai masa sehingga 31 Oktober 2022 untuk menebus satu daripada 14 reka bentuk setem NFT.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, penembusan pasaran NFT merupakan pencapaian penting bagi mereka dalam melengkapkan tawaran pos tradisionalnya dengan pelbagai perkhidmatan serta produk digital.

 

setem

 

“Bersama Apom, kami berbesar hati menawarkan peluang kepada artis tempatan mempamerkan bakat mereka bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat global, kerana NFT boleh dikongsi atau didagangkan di peringkat antarabangsa,” katanya.

 

setem

 

Beliau percaya, projek itu akan meningkatkan kecekapan dan meningkatkan hubungan dengan pelanggan dalam dunia yang berkembang pesat dan maju secara digital.

 

setem

 

“Walaupun Pos Malaysia wujud sebagai pengendali perkhidmatan pos selama lebih 200 tahun, aspirasi kami adalah untuk kekal relevan dan bersedia untuk wujud selama 200 tahun lagi," katanya. - DagangNews.com