Pos Malaysia teroka kerjasama logistik bersama Ejazmine | DagangNews Skip to main content

Pos Malaysia teroka kerjasama logistik bersama Ejazmine

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Sept - Pos Malaysia Berhad memeterai Memorandun Persefahaman (MoU) bersama Ejazmine Sdn. Bhd. bagi meneroka kerjasama dalam perkhidmatan logistik dan kurier. 

 

Menerusi jalinan kerjasama itu, Pos Malaysia dilantik sebagai rakan logistik pilihan.

 

Ejazmine merupakan pasaran dalam talian yang membolehkan penjual mempamer, mengiklan, mempamerkan, menyediakan dan menawarkan untuk menjual produk, serta membolehkan pembeli membeli produk yang ditawarkan.

 

"Menerusi kerjasama itu, mereka akan mewujudkan platform bagi membolehkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mencapai pengedaran pasaran domestik dan antarabangsa menerusi pasaran dalam talian Ejazmine serta rangkaian Pos Malaysia di seluruh negara," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Kerjasama itu bermula pada 14 September 2022 untuk tempoh setahun atau tamat tempoh pada tarikh pelaksanaan perjanjian muktamad atau mana-mana pihak memberi notis penamatan secara bertulis.

 

Perjanjian itu tidak akan memberi kesan kepada modal saham berbayar syarikat dan pegangan saham pemegang saham terbesar. 

 

Ia juga tidak akan memberi kesan kepada pendapatan dan aset bersih Pos Malaysia bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022. - DagangNews.com