Potongan cukai khas sewa premis PKS dilanjutkan hingga Mac 2021 | DagangNews Skip to main content

Potongan cukai khas sewa premis PKS dilanjutkan hingga Mac 2021

Potongan cukai khas sewa premis

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Potongan cukai khas kepada pemilik premis yang terdiri daripada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) untuk mengurangkan sewa premis telah berakhir pada September 2020.

 

Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan potongan cukai berkenaan terus disambung kepada enam bulan lagi hingga Mac 2021.

 

"Sukacita saya umumkan bahawa potongan cukai khas bagi pengurangan sewa premis kepada PKS dilanjutkan enam bulan lagi sehingga Mac 2021 bagi membantu PKS yang terkesan akibat lanjutan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat)," jelasnya dalam ucapan penggulungan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Terdahulu, inisiatif potongan cukai berkenaan telah dijalankan oleh kerajaan sebelum berakhir pada September lalu.

 

Inisiatif tersebut adalah bagi menggalakkan pemilik bangunan atau ruang perniagaan yang menikmati penangguhan atau moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan untuk mengambil tindakan sewajarnya dengan mengurangkan bebanan sewa premis perniagaan yang ditanggung oleh golongan PKS yang menyewa. 

 

Melalui Pakej Rangsangan Penjana, pemilik premis perniagaan, pemberi sewa atau landlord yang memberikan pengurangan atau pelepasan sewa kepada penyewa premis perniagaan yang terdiri daripada PKS diberi potongan cukai khas tersebut. - DagangNews.com