KUALA LUMPUR 14 Mac – Powerwell Holdings Bhd. meraih kontrak bernilai RM40 juta bagi pakej kerja-kerja bangunan utama daripada Tialoc Malaysia Sdn. Bhd.
Di bawah kontrak tersebut, Powerwell akan membekal, memasang, menguji dan mentauliahkan suis voltan sederhana dan pengubah pengagihan kuasa untuk projek bangunan baharu kilang pengeluaran dan ujian semikonduktor syarikat multi-nasional terkemuka di Kulim Hi-Tech Park, Kedah.
Kontrak tersebut yang dijangka bermula pada akhir Mac 2022, dijangka siap menjelang Oktober ini.
Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Jualan Serantau Powerwell, Ir Aaron Leong berkata, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif bagi pendapatan disatukan dan aset bersih untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Tialoc Malaysia atas kepercayaan mereka terhadap produk kami dan keyakinan dengan jadual penghantaran kami," katanya.
Dengan kemajuan ekonomi Malaysia, beliau juga optimis industri pembinaan dan infrastruktur akan menjadi lebih rancak.
"Memandangkan negara beralih kepada fasa endemik dan pembukaan semula sempadan pada April 2022, kami akan kembali aktif meneroka lebih banyak peluang tender di peringkat tempatan dan serantau dengan memanfaatkan rekod prestasi kami," jelasnya.
Powerwell merupakan syarikat pegangan pelaburan dan menerusi kumpulan anak syarikatnya, kumpulan itu secara dasarnya menyediakan penyelesaian pengagihan kuasa untuk peralatan voltan rendah (LV) dan voltan sederhana (MV).
Dengan beberapa negara Asia menjadi pasaran eksport utamanya, pakar global dalam produk pengedaran elektrik ini mempunyai rekod kejayaan inovasi mengagumkan daripada pengalaman yang diperoleh sejak 30 tahun lalu. - DagangNews.com