PPV pandu lalu pertama OKU mulakan vaksinasi hari ini | DagangNews Skip to main content

PPV pandu lalu pertama OKU mulakan vaksinasi hari ini

Khairy Jamaluddin ketika membuat tinjauan persiapan PPV pandu lalu pertama bagi golongan OKU semalam.

Khairy Jamaluddin ketika membuat tinjauan persiapan PPV pandu lalu pertama bagi golongan OKU semalam.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 16 Jun - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu yang pertama bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di Lembah Klang akan mula beroperasi hari ini.

 

PPV berkenaan yang beroperasi di Menara Sime Darby Plantation, Ara Damansara itu akan dibuka bermula pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang.

 

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin ketika membuat tinjauan persiapan PPV berkenaan semalam berkata, seramai 13,500 OKU dijangka akan menerima vaksin di PPV berkenaan dengan sasaran 200 dos sehari.

 

"Ini adalah PPV OKU secara pandu lalu yang pertama di negara malah dunia. 

 

"Saya yakin projek perintis ini akan berjaya dan kita akan menambah jumlah penerima serta meningkatkan kadar dos seharian pada masa akan datang.

 

"PPV OKU secara pandu lalu itu boleh dijadikan rujukan sementara dan kerajaan akan mewujudkan garis panduan untuk negeri lain membukanya kepada komuniti OKU yang tidak dapat keluar dari kenderaan," katanya seperti dilapor Berita Harian semalam.

 

Kawasan PPV pandu lalu OKU yang akan bermula hari ini.
Kawasan PPV pandu lalu OKU yang memulakan operasi hari ini.

 

PPV bagi golongan OKU itu merupakan idea Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi dengan kerjasama Pusat Perubatan Ara Damansara, Sime Darby Plantation Berhad dan agensi kerajaan lain.

 

Baru-baru ini, Ras Adiba turut hebahan melalui video pendek bagi mengajak golongan OKU dan penjaganya di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk mendaftarkan diri dalam 'Program Vaksinasi OKU & Penjaga OKU'.

 

Baca: OKU dan penjaga di Lembah Klang disaran daftar program vaksinasi

 

Susulan itu, pihaknya telah menerima hampir 16,000 permohonan daripada golongan OKU.

 

Bagaimanapun, hanya 13,500 disenarai pendek untuk divaksinasi bagi sesi pertama ini. - DagangNews.com