PR1MA bekerjasama dengan SCID guna IBS bangunkan rumah mampu milik | DagangNews Skip to main content

PR1MA bekerjasama dengan SCID guna IBS bangunkan rumah mampu milik

KUALA LUMPUR 31 Mac - Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) akan bekerjasama dengan SANY Construction Industry Development (M) Sdn. Bhd. (SCID) bagi membina rumah mampu milik menggunakan teknologi sistem binaan berindustri (IBS).

 

Menerusi kerjasama itu juga ia akan membantu mewujudkan lebih lebih 12,000 peluang pekerjaan.

 

PR1MA berkata perkongsian itu mempunyai potensi pelaburan sebanyak RM75 juta di mana SCID, anak syarikat SANY Group yang berpangkalan di China akan membina tiga kilang IBS di lokasi strategik.

 

"Penggunaan teknologi IBS akan menyumbang kepada pembinaan 20,000 unit rumah mampu milik di seluruh negara dengan nilai pembangunan bernilai RM5 bilion," katanya dalam satu kenyataan, hari ini, lapor Bernama.

 

Teknologi IBS ialah cara pembinaan moden yang boleh membantu meningkatkan produktiviti dengan mengurangkan masa pembinaan, katanya.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa lawatannya ke Dubai telah menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara PR1MA dan SCIB di Pavilion Malaysia, Ekspo Dubai 2020.

 

PR1MA dan SCID akan bekerjasama untuk mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan membangunkan inisiatif Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di cawangan SCID di Malaysia dan luar negara.

 

Pengerusi PR1MA, Datuk Fathul Bari Mat Jahya berkata, kerjasama itu penting bagi mencapai hasrat kerajaan membantu keluarga Malaysia berpendapatan sederhana (M40) memiliki rumah pertama mereka.

 

Ia juga selaras dengan aspirasi kerajaan iaitu 'Satu Keluarga, Satu Rumah' dan aspirasi Keluarga Malaysia yang dicetus oleh Perdana Menteri.

 

PR1MA, sebuah agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dipertanggungjawabkan untuk membina rumah mampu milik dan meningkatkan pemilikan rumah sejajar dengan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12). - DagangNews.com