KUALA LUMPUR 16 Nov - Satu tindakan penguatkuasaan bersama telah diambil terhadap i-Serve Online Mall Sdn. Bhd. dan syarikat sekutunya pada 11 November lalu kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Ini termasuk di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Bank pusat berkata, susulan tindakan itu, sebanyak 22 premis berkaitan i-Serve Online Mall Sdn. Bhd. dan syarikat sekutunya di Kuala Lumpur dan Selangor telah diserbu, dan dokumen berkaitan dirampas bagi membantu siasatan bersama ini.
"Tindakan serbuan tersebut juga telah menyebabkan 45 akaun dalam 7 bank dibekukan serta wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM118.7 juta dirampas," katanya dalam kenyataan semalam.
Tindakan penguatkuasaan bersama ini merupakan sebahagian daripada kerjasama antara agensi bagi membanteras jenayah kewangan di Malaysia.
Ia diselaraskan oleh Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan BNM sebagai agensi peneraju, bersama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan CyberSecurity Malaysia.
Menurut BNM, orang ramai dinasihati bahawa mana-mana individu yang menerima deposit tanpa lesen dianggap telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 137(1) FSA.
Katanya, siasatan terhadap kesalahan pengubahan wang haram juga akan dibuat mengikut peruntukan di bawah AMLA.
"Jika disabit kesalahan, individu tersebut boleh dikenakan denda tidak kurang daripada 5 kali jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram semasa kesalahan tersebut dibuat atau denda RM5 juta, mana-mana yang lebih tinggi, dan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun," jelasnya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, BNM mengingatkan orang ramai supaya hanya menyimpan wang dan/atau melabur dengan pihak yang berlesen atau berdaftar dengan pihak berkuasa yang berkaitan.
"BNM dan SC menggesa orang ramai supaya berhati-hati apabila melabur dengan syarikat-syarikat dalam atau luar negara yang menawarkan pelbagai peluang pelaburan di samping menjanjikan pulangan lumayan," tegasnya. - DagangNews.com