Press Metal Aluminium diunjur catat untung bersih lebih tinggi pada 1QFY24 - HLIB | DagangNews Skip to main content

Press Metal Aluminium diunjur catat untung bersih lebih tinggi pada 1QFY24 - HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 April - Press Metal Aluminium Holdings Bhd diunjur mencatatkan untung bersih lebih tinggi bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) didorong sumbangan lebih tinggi daripada syarikat bersekutu.

 

Hong Leong Investment Bank Research (HLIB) Research berkata, untung bersih teras bagi 1QFY24 dijangka berada antara RM330 juta hingga RM350 juta, pertumbuhan antara 13% hingga 20% dari tahun ke tahun.

 

Katanya, hasil itu adalah lebih baik berbanding RM281.97 juta yang direkodkan pada 1QFY23.

 

"Walaupun harga alumina lebih tinggi sebanyak 8% kepada RM2,125 setiap tan dicatatkan pada suku pertama tahun ini berikutan gangguan bekalan di Guinea dan Australia yang boleh mengheret margin pendapatan kumpulan tetapi ia diimbangi sumbangan lebih baik daripada syarikat bersekutunya, PT Bintan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jangkaan kenaikan premium pelabuhan utama Jepun dilihat sebagai pampasan kepada tekanan kos logistik dan bukan petunjuk kepada permintaan yang bertambah baik.

 

"Kami percaya premium MJP berkemungkinan mengikuti kenaikan kos pengangkutan bermula suku kedua 2024 dan seterusnya, apabila S&P Global melaporkan bahawa premium untuk penghantaran pertama melonjak 60% dari suku tahun ke suku tahun kepada AS$145 setiap tan, lebih tinggi daripada keseluruhan tahun 2023," katanya.

 

HLIB berkata, kenaikan indeks pengurus pembelian (PMI) di China mungkin menunjukkan pemulihan yang mampan untuk pemain industri kerana ia menyebabkan kenaikan harga aluminium London Metal Exchange (LME) kepada melebihi AS$2,400 setiap tan.

 

Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk memastikan sama ada pemulihan itu kekal lama atau sebaliknya kerana ia boleh terkesan dengan dasar rangsangan China.

 

Bagi suku keempat 2023, untung bersih bersih Press Metal meningkat 22.89% kepada RM320.46 juta berbanding RM260.78 juta setahun sebelumnya, berikutan peningkatan margin keuntungan daripada harga bahan mentah yang lebih rendah dan sumbangan keuntungan yang lebih tinggi daripada syarikat bersekutu.

 

Hasil suku tahunan, bagaimanapun, susut 9.64% kepada RM3.53 bilion daripada RM3.91 bilion pada 4QFY22, disebabkan harga logam yang lebih rendah.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) RM4.65 sesaham," katanya.- DagangNews.com