Press Metal Aluminium jalin kerjasama tubuhkan kilang penapisan alumina di Kalimantan Barat | DagangNews Skip to main content

Press Metal Aluminium jalin kerjasama tubuhkan kilang penapisan alumina di Kalimantan Barat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jun - Press Metal Aluminium Holdings Berhad memetrai perjanjian pemegang saham dan perjanjian langganan saham bersama PT Alakasa Alumina Refineri, PT Dinamika Sejahtera Mandiri bagi mewujudkan syarikat kerjasama PT Kalimantan Alumina Nusantara yang akan menubuhkan kilang penapisan alumina. 

 

Kumpulan itu berkata, kerjasama strategik itu menyaksikan PT Kalimantan Alumina Nusantara akan mengendalikan kilang penapisan alumina bersepadu, loji janakuasa, jeti dan infrastruktur sokongan di Sanggau, Kalimantan Barat, Indonesia.

 

Katanya, kilang penapisan itu dijangka mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sehingga 1.2 juta tan metrik (Fasa 1), dengan potensi pengembangan untuk menggandakan pengeluaran itu. Jumlah kos untuk Fasa 1 ialah AS$750 juta (RM3.238 bilion).

 

"Press Metal akan melanggan 80% kepentingan ekuiti dalam PT Kalimantan Alumina Nusantara untuk jumlah harga langganan RM1.04 bilion, dilaksanakan dalam tujuh peringkat pada tahun hadapan, dan dibiayai melalui dana jana dalaman kumpulan. 

 

"PT Alakasa Alumina Refineri dan PT Dinamika Sejahtera Mandiri masing-masing akan memegang 19.77% dan 0.23% pegangan ekuiti," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Tan Sri Paul Koon berkata, projek itu mewakili peluang unik bagi memacu pertumbuhan jangka panjang yang mampan.

 

"Menerusi kerjasama dengan PT Alakasa Alumina Refineri dan PT Dinamika Sejahtera Mandiri , kami bukan sahaja mengembangkan operasi perniagaan huluan kami tetapi juga membuka kunci sinergi yang akan meningkatkan nilai keseluruhan kumpulan Press Metal.

 

"Usaha ini selaras dengan strategi kami untuk mengukuhkan kedudukan kami sebagai peleburan terbesar di Asia Tenggara dan meningkatkan kelebihan daya saing merentasi rantaian nilai aluminium.

 

"Ia merupakan pendekatan yang berkesan ke arah meluaskan kehadiran huluan kami sambil memastikan sara diri yang lebih tinggi dan bekalan yang stabil bagi keperluan alumina kami, yang penting untuk operasi peleburan teras," katanya. - DagangNews.com