Prestasi hambar KESM Industries, Kenanga Research kekal saranan 'market perform' | DagangNews Skip to main content

Prestasi hambar KESM Industries, Kenanga Research kekal saranan 'market perform'

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Jun - Kenanga Research mengekalkan saranan 'market perform' terhadap saham KESM Industries Berhad dengan harga sasaran (TP) RM7.50 berbanding RM8.30.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu bagaimanapun menunjukkan prestasi hambar walaupun permintaan untuk cip automotif di peringkat global kukuh dan ia dikaitkan dengan portfolio produknya. 

 

Katanya, kumpulan itu juga menyasarkan untuk menghentikan pengeluaran produk itu untuk tempoh dua atau tiga suku tahun kewangan akan datang.

 

"KESM akan beransur-ansur memperkenalkan produk baharu dan telah memberi komitmen agresif dengan perbelanjaan modal sebanyak RM106 juta.

 

"Kumpulan itu berada dalam prestasi tidak menentu sejak awal penularan wabak dan sehingga kini masih bergelut walaupun sebahagian besar dunia sudah mula melangkah ke fasa endemik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, walaupun lebih 90% daripada pendapatan kumpulan adalah daripada semikonduktor automotif, mereka dilihat gagal untuk memanfaatkan kelebihan permintaan yang kukuh berbanding pesaing lain kerana portfolio produknya.

 

"Kami kekal berhati-hati dengan perancangan yang diberikan kerana kemudahan sedia ada masih kurang digunakan.

 

"Selain itu, kumpulan itu juga akan berdepan masalah operasi di Tianjin kesan daripada larangan pergerakan di China.

 

"Kami mengekal saranan 'market perform' dengan TP RM 7.50," katanya. - DagangNews.com