Prestasi melebihi jangkaan, MIDF naikkan unjuran perolehan FY22 Tasco | DagangNews Skip to main content

Prestasi melebihi jangkaan, MIDF naikkan unjuran perolehan FY22 Tasco

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 30 Julai - Firma penyelidikan, MIDF Research kekal optimis terhadap prospek masa hadapan Tasco Berhad sekali gus menyemak naik unjuran perolehan tahun kewangan 2022 (FY22) kumpulan sebanyak 26.3% kepada RM58.5 juta. 

 

Turut ditingkatkan unjuran bagi FY23 sebanyak 27.6% kepada RM60.1 juta selepas syarikat pengangkutan dan logistik itu mencatatkan perolehan pada suku pertama FY22 (1QFY22) yang melebihi jangkaan MIDF. 

 

“Kami menyemak semula harga sasaran (TP) kepada RM1.47 daripada RM1.38 sesaham susulan semakan semula unjuran perolehan kami. 

 

“Melangkah ke hadapan, kami percaya prospek perolehan Tasco akan kekal mampan,” jelas MIDF dalam satu nota kajian. 

 

Tasco mencatatkan perolehan utama iaitu RM16.2 juta pada 1QFY22, melonjak 100% berbanding tempoh sama pada tahun lalu. 

 

Kumpulan telah menonjolkan pertumbuhan yang belum pernah terjadi sebelum ini ketika persekitaran operasi pandemik semasa yang mencabar, dan MIDF menjangkakan Tasco akan terus menunjukkan prestasi yang baik pada FY22.

 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) Tasco yang bernilai RM14.4 juta pada suku tahun semasa meningkat 264.0% berbanding tempoh sama pada tahun lalu dipacu oleh segmen Penghantaran Barang Laut (OFF) dan Logistik Kontrak (CL).

 

Kedua-dua cabang itu menunjukkan pengembangan margin lebih dua kali ganda pada tahap PBT. 

 

Peningkatan dalam margin operasi mungkin disumbangkan oleh lonjakan kadar penghantaran laut bagi OFF dan pengurangan perbelanjaan bukan operasi dan umum, dipacu oleh kos kewangan yang dikurangkan, yuran profesional serta langkah kawalan kos.

 

“Kami percaya kumpulan mampu mengekalkan prestasi cemerlang ini pada masa akan datang.

 

"Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan perolehan Tasco yang lebih baik dipacu oleh peningkatan hasil dalam International Business Solutions (IBS), pemulihan cepat dalam segmen Domestic Business Solution (DBS) dan peningkatan margin menerusi skim Elaun Cukai Pelaburan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA),” ujar MIDF lanjut. 

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘beli’ saham Tasco. - DagangNews.com