Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 27 Okt. - Penganalisis menganggap prestasi buruk yang dicatatkan Unisem (M) Bhd untuk suku ketiga tahun kewangan 2021 sebagai sesuatu yang bersifat sementara.
MIDF Research berkata, dengan pembukaan semula ekonomi, pihaknya percaya Unisem akan meningkatkan pengeluarannya pada suku terakhir tahun ini selepas aktiviti sektor pembuatan dan ketersediaan pekerja kembali normal.
"Kami tidak membuat sebarang perubahan pada anggaran pendapatan Unisem kerana kami fikir ia adalah 'set back' yang sementara bagi Kumpulan disebabkan oleh PKP," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Untung bersih Unisem merosot 20.64% kepada RM40.27 juta daripada RM50.74 juta setahun lalu, terutamanya disebabkan oleh hasil yang lebih rendah daripada operasi kumpulan itu di Ipoh yang terjejas dengan penutupan loji dan had bilangan pekerja yang dikenakan pada suku yang dikaji.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysa semalam, Kumpulan itu berkata, ia seterusnya mengakibatkan pendapatan sesaham turun kepada 4.99 sen berbanding 6.98 sen sebelumnya.
Bagaimanapun hasil suku tahunannya meningkat 2.42% kepada RM366.36 juta berbanding RM357.68 juta tahun lepas.
Tambah MIDF Research, pihaknya percaya tinjauan Kumpulan akan kekal teguh berikutan permintaan kukuh merentas produk dan perkhidmatan terutamanya pada pembungkusan tahap wafer dan sistem mikro-elektro-mekanikal (MEM).
Jelasnya, memandangkan rombakan dalam operasi kumpulan serta hala tuju perniagaan, MIDF melihat bahawa kumpulan itu berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk memanfaatkan sepenuhnya percambahan 5G dan IoT.
"Ini akan dipertingkatkan lagi melalui hubungan strategiknya dengan Tianshui Huatian Technology Co Ltd (TSHT) .
"Semua faktor dipertimbangkan, kami mengekalkan cadangan panggilan BELI kami untuk Unisem," katanya. -DagangNews.com