Principal Asset Management lancar dana pelaburan patuh ESG  | DagangNews Skip to main content

Principal Asset Management lancar dana pelaburan patuh ESG 

Ketua Pegawai Eksekutif Principal Asset Management, Munirah Khairuddin

 

 

KUALA LUMPUR 17 Sept. – Principal Asset Management Berhad melancarkan Dana Principal Global Sustainable Growth bagi membolehkan para pelabur di Malaysia melabur dalam persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) bagi mencapai peningkatan modal.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Principal Asset Management, Munirah Khairuddin berkata, pelancaran dana ini mencerminkan komitmen mereka terhadap kesedaran yang semakin meningkat mengenai isu-isu kelestarian di Malaysia. 

 

Katanya, ini juga merupakan antara usaha untuk mengembangkan penyelesaian pelaburan inovatif yang membina, melindungi dan memajukan kesejahteraan kewangan para pelabur di samping membantu menjaga persekitaran dan manusia sejagat.

 

“Dalam dunia yang berkembang pesat, kita dapat melihat minat terhadap dana ESG yang memberi kesan positif sambil menghasilkan pulangan semakin meningkat. Ini ditunjukkan dalam pertumbuhan luar biasa aset dana ESG sejak beberapa tahun lalu. 

 

"Memandangkan penyelarasan pelaburan dengan nilai-nilai ESG dapat diterjemahkan kepada prestasi yang konsisten dalam jangka masa sederhana hingga panjang, ini tidaklah menghairankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sebagai dana pelaburan yang lestari dan bertanggungjawab, kepemilikan dana tersebut termasuk pemilihan, pengekalan dan realisasi pelaburannya adalah tertakluk pada metodologi integrasi ESG mengikut prinsip United Nations Principles for Responsible Investment (UN PRI). 

 

Principal Financial Group menerusi Principal Global Investors (PGI) telah menjadi penandatangan UN PRI sejak Disember 2010. 

 

Di Asia Tenggara, Principal Asset Management di Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia and Principal Islamic Asset Management menjadi penandatangan sejak Disember 2019 di bawah Principal Asset Management (SEA).  

 

CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad telah dilantik sebagai pengedar eksklusif Dana Global Sustainable Growth Fund untuk tempoh 3 bulan. 

 

Pelanggan CIMB yang ingin melabur dalam dana tersebut atau dana unit amanah lain yang ditawarkan melalui CIMB boleh mengunjungi mana-mana cawangan Bank.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Samir Gupta berkata, CIMB gembira untuk bekerjasama dengan Principal Asset Management sebagai pengedar bank eksklusif untuk Dana Principal Global Sustainable Growth. 

 

"Dana ini akan memenuhi permintaan yang semakin meningkat daripada kalangan pelabur runcit untuk pelaburan patuh ESG yang membolehkan mereka memilih pelaburan yang lebih berimpak dan lestari. 

 

"Tambahan dana ini kepada rangkaian penawaran kami dapat meningkatkan kelebihan cadangan kami kepada pelanggan dan kami berharap dapat menawarkan penyelesaian inovatif sebegini pada masa depan," katanya.

 

Dana ini berantara masuk ke Dana Schroder International Selection Fund Global Sustainable Growth (Dana Sasaran) yang dikendalikan oleh Schroder Investment Management (Pengurus Sasaran). 

 

Dana Sasaran ini bertujuan memberi petumbuhan modal dengan melabur dalam saham-saham syarikat di seluruh dunia dengan menerapkan nilai-nilai ESG dalam perniagaan mereka yang kemudiannya dapat memperoleh pertumbuhan tinggi dan stabil dalam jangka masa panjang. 

 

Rekod prestasi Dana Sasaran juga menunjukkan kemampuannya sejak 2001. 

 

Direka dengan struktur kelas-pelbagai dengan 4 kelas saham iaitu Kelas AUD-Hedged, Kelas MYR-Hedged, Kelas SGD-Hedged dan Kelas USD dengan harga tawaran awal AUD1,000, MYR1,000, SGD1,000 dan USD 1,000. -DagangNews.com