Principal Islamic, Standard Chartered Securities tawar dana UCITS di Brunei  | DagangNews Skip to main content

Principal Islamic, Standard Chartered Securities tawar dana UCITS di Brunei 

KUALA LUMPUR 20 Okt - Principal Islamic mencapai persetujuan dengan Standard Chartered Securities Brunei untuk menawarkan empat dana Undertakings for Collective Investment in Transferable Securities (UCITS) syarikat kepada para pelabur Brunei. 

 

Kerjasama ini membolehkan para pelabur Brunei mempunyai akses yang lebih luas kepada pasaran Asia Pasifik dan global melalui Dana Islamic ASEAN Equity, Dana Islamic Asia Pacific Dynamic Income & Growth serta Dana Islamic Global Multi-Asset dan Dana Global Sukuk. 

 

Ia menandakan perjanjian pertama dimeterai bersama institusi kewangan antarabangsa untuk menawarkan dana Principal Islamic di Brunei.

 

 

Syed Mashafuddin Syed Mashafuddin
SYED MASHAFUDDIN SYED BADARUDDIN

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Principal Islamic, Datuk Paduka Syed Mashafuddin Syed Badaruddin berkata, 
dana patuh syariah semakin popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan telah menarik minat para pelabur antarabangsa. 

 

Katanya, inisiatif itu membantu para pelabur membina portfolio pelaburan mereka dengan penuh keyakinan.

 

"Dengan pengenalan dana Asia Pasifik dan ASEAN Islam kami di Brunei, kami berharap para pelanggan Standard Chartered yang menginginkan kepelbagaian dan pertumbuhan modal melalui pelaburan yang meliputi rantau Asia dan Asia Pasifik akan mendapat manfaat daripada pertumbuhan pesat rantau ini, selain menjadi medium terbaik untuk pelaburan jangka panjang yang mematuhi syariah," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Principal Islamic, syarikat usaha sama antara Principal Financial Group dan CIMB mengesyorkan pelaburan syariah untuk pelanggan yang menginginkan pelaburan mampan kerana kedua-duanya berkongsi prinsip dan nilai yang sama termasuklah mengetengahkan ciri pengurusan, tanggungjawab sosial serta aktiviti yang bertanggungjawab. 

 

Tawaran dana baharu ini menyediakan akses kepada amalan portfolio yang mampan berikutan penggunaan rating alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) untuk membantu mengukur risiko kemampanan dan menggalakkan aktiviti mampan yang mematuhi syariah.

 

Pelaburan syariah dan mampan menyasarkan pulangan kewangan yang menarik buat pelabur Islam serta bukan Islam, disamping memberikan impak yang lebih baik untuk masyarakat dan alam sekitar. - DagangNews.com