Principal Malaysia pilih Amazon Web Services sebagai penyedia perkhidmatan awan bagi memacu kemajuan transformasi digital | DagangNews Skip to main content

Principal Malaysia pilih Amazon Web Services sebagai penyedia perkhidmatan awan bagi memacu kemajuan transformasi digital

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 30 Jan - Principal Malaysia (Principal), syarikat milik bersama antara Principal Financial Group (PFG) dan CIMB Group Holdings Berhad memilih Amazon Web Services (AWS) sebagai penyedia perkhidmatan awan dalam usaha untuk memacu kemajuan transformasi digital dan meningkatkan pengalaman pelanggan.

 

Principal merupakan syarikat pertama dalam industri perkhidmatan kewangan di ASEAN yang memindahkan pusat data sepenuhnya ke sistem perkhidmatan awan AWS. 

 

Menerusi pemindahan 150 sistem pelayan dan 35 aplikasi bisnes penting termasuk sistem perniagaan seperti Pengurusan Hubungan Pelanggan (CRM) ke AWS, Principal memperolehi kepantasan berskala sekali gus memenuhi keperluan pelanggan yang semakin meningkat. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Principal Malaysia dan Syariah Global, Munirah Khairuddin berkata, kerjasama dengan AWS memperlihatkan komitmen untuk memenuhi keperluan para pelanggan yang semakin meningkat dan akan membantu mereka untuk mendapatkan penyelesaian kewangan. 

 

"Dengan memanfaatkan teknologi awan AWS, kami akan terus berusaha membantu pelanggan untuk membina, melindungi dan memajukan kedudukan kewangan mereka," katanya yang juga Pengarah Urusan Edaran Strategik dan Pelanggan Institusi bagi Principal Asia Tenggara dalam kenyataan media hari ini.

 

Menerusi strategi yang mengutamakan perkhidmatan awan, Principal mempunyai keupayaan untuk sentiasa menilai landskap industri kewangan dan membuat keputusan perniagaan dengan cekap dan pilihan yang fleksibel. 

 

"Jumlah pelabur Malaysia semakin meningkat, dan Principal memerlukan keupayaan dan persekitaran yang dapat memberikan perkhidmatan pelaburan yang pantas dan selamat untuk menarik pelanggan yang semakin berkembang," katanya.

 

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Maklumat di Principal Financial Group, Kathy Kay berkata, kerjasama Principal dengan AWS membolehkan permintaan pelanggan dipenuhi dengan pantas.

 

Selain itu, katanya, kerjasama ini juga mempercepatkan tempoh pelancaran produk ke pasaran dan menyampaikan pengalaman yang lebih peribadi berbanding sebelum ini.

 

"Ini dapat membantu kami untuk membuat keputusan yang lebih pantas dan lebih bijak untuk memenuhi keperluan pelanggan kami yang semakin berkembang," jelasnya.

 

Ketua Perkhidmatan Industri Kewangan (FSI) ASEAN AWS, Pete Murray pula berkata, kebanyakan syarikat perkhidmatan kewangan terulung dalam industri pengurusan aset seperti Principal semakin beralih kepada teknologi awan untuk perlaksanaan idea yang cepat, sambil memastikan penggunaan yang selamat dan mematuhi rangka perundangan.

 

"AWS bangga untuk menyokong Principal dalam usaha mereka untuk berinovasi, bertindak mengikut peluang pasaran baru dan berubah untuk memenuhi keperluan pelanggan yang dinamik di Malaysia.

 

"Kami berharap dapat menyokong misi Principal untuk memupuk masyarakat di mana jaminan kewangan dapat diakses oleh semua pihak," katanya. - DagangNews.com