KUALA LUMPUR 23 Nov - Produktiviti buruh Malaysia yang diukur dari segi nilai ditambah per jam bekerja merosot 0.9% pada suku ketiga 2023 dengan jumlah jam bekerja meningkat 4.2% bagi merekodkan 9.4 bilion jam, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ekonomi Malaysia meningkat 3.3% pada suku ketiga 2023 selepas mencatatkan pertumbuhan 2.9% pada suku tahun sebelumnya, manakala jumlah bilangan pekerjaan meningkat kepada 16.3 juta orang, menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 2.7% (ST2 2023: 16.1 juta orang; 2.8%).
Katanya, dengan pertumbuhan ekonomi dan pekerjaan yang lebih kukuh, produktiviti buruh per jam bekerja pada suku ketiga 2023 memulih sedikit kepada negatif 0.9%, RM42.2 per jam (ST2 2023: -1.1%; RM40.6 per jam).
"Manakala produktiviti buruh seperti yang dinyatakan sebagai nilai ditambah bagi setiap pekerja meneruskan trend kenaikan iaitu dengan peningkatan 0.6% kepada RM24,465 per pekerja (ST2 2023: 0.02%; RM23,408 per pekerja)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Melihat kepada prestasi sektor bagi produktiviti buruh yang diukur sebagai nilai ditambah per jam bekerja, sektor pembinaan dan perkhidmatan memacu prestasi keseluruhan dengan mencatatkan kenaikan masing-masing sebanyak 5.2% (ST2 2023: 3.5%), dan 0.1% (ST2 2023: 0.1%), tahun ke tahun.
Manakala tiga sektor menunjukkan penurunan, iaitu, sektor pembuatan pada negatif 4.5% (ST2 2023: -3.9%), sektor pertanian pada negatif 1% (ST2 2023 :-2.8%), dan sektor perlombongan dan pengkuarian pada negatif 0.4% (ST2 2023: -6.7%).
Produktiviti buruh per jam bekerja bagi sektor perkhidmatan disumbangkan pertumbuhan positif bagi lima subsektor utama iaitu pengangkutan dan penyimpanan (6.9%); perdagangan borong dan runcit (3.2%), perkhidmatan lain (2.5%); maklumat dan komunikasi (1.4%); dan hartanah dan perkhidmatan perniagaan (0.9%), manakala tiga subsektor lain merekodkan pertumbuhan negatif, iaitu makanan & minuman dan penginapan (-5.2%); kewangan dan insurans (-5.1%); dan utiliti (-2.6%).
Dari segi prestasi mengikut sektor bagi produktiviti buruh yang dinyatakan sebagai nilai ditambah per pekerja, sektor pembinaan dan sektor perkhidmatan mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih ketara masing-masing sebanyak 5.7% (ST2 2023: 5.2%) dan 1.8% (ST2 2023: 1.0%).
Sementara itu, sektor pertanian menunjukkan pemulihan dengan pertumbuhan 0.2% selepas merekodkan penurunan pada suku tahun sebelumnya (ST2 2023: -1.2%), manakala sektor pembuatan dan sektor perlombongan dan pengkuarian mencatatkan penurunan masing-masing sebanyak negatif 3.1% (ST2 2023: -2.6%) dan negatif 0.5% (ST2 2023: -3.0%).
Lima subsektor yang menunjukkan peningkatan dalam produktiviti buruh per pekerja bagi sektor perkhidmatan adalah pengangkutan dan penyimpanan (7.6%); hartanah dan perkhidmatan perniagaan (6.1%); perkhidmatan lain (4.3%); perdagangan borong dan runcit (3.5%); dan utiliti (2%); manakala tiga subsektor merekodkan penurunan, iaitu makanan & minuman dan penginapan (-3.2%); kewangan dan insurans (-2.4%) dan maklumat dan komunikasi (-1.0%).
Mohd Uzir berkata, bagi mempertingkatkan produktiviti buruh, pelaburan pembangunan modal insan dengan menggabungkan kurikulum digital yang bertepatan dan pembangunan kemahiran serta dorongan pembelajaran sepanjang hayat adalah diperlukan.
Katanya, untuk menyokong adaptasi inovasi dan teknologi, pekerja berkemahiran adalah sangat penting bagi membuka potensi pertumbuhan ekonomi.
"Segala usaha perlu dipergiat secara berterusan bagi melahirkan bakat berkualiti tinggi untuk mendokong aspirasi kerajaan Malaysia dalam menjadi negara maju dan inklusif.," katanya. - DagangNews.com