Program Alliance Islamic beri sinar baharu kepada usahawan mikro | DagangNews Skip to main content

Program Alliance Islamic beri sinar baharu kepada usahawan mikro

Marriani Che Mat, salah seorang peserta EEP yang dianjurkan Alliance Islamic Bank mempamerkan bakul yang mengandungi pelbagai produk pastrinya.

 


 

KUALA LUMPUR 17 Nov - “Saya sangat gembira dapat menyertai program ini. Ia benar-benar mengubah hidup saya!", demikian menurut Rosambee Sulaiman, 55,salah seorang peserta Program Pemerkasaan Ekonomi (EEP) yang dijalankan Alliance Islamic Bank Bhd.

 

Berkongsi lebih lanjut, katanya, pendapatannya meningkat sebanyak 259% selepas 3 bulan menyertai program berkenaan yang memberi tumpuan untuk membantu usahawan mikro dalam kalangan B40. 

 

Rosambee, seorang tutor yang juga menjual makanan dan minuman berkata, dengan pendapatan yang diperolehnya itu, membolehkannya untuk menyokong keperluan perubatan keluarga dan suaminya dengan lebih baik selepas terkesan dengan pandemik COVID-19.
 

 

"Sebelum ini saya ada menjual cendol sambil menjaga suami, seorang pesakit jantung. Ia sungguh sukar dan kehidupan saya sekadar kais pagi makan pagi. Keadaan menjadi lebih buruk apabila pandemik melanda. 

 

"Tetapi, program ini membantu saya menemui kemahiran dan minat saya dalam mengajar, yang memberikan saya keyakinan untuk memulakan kelas tuisyen. 

 

"Dengan pendapatan saya bertambah baik, saya mampu membeli makanan yang lebih berkhasiat untuk keluarga dan saya juga mula menabung untuk pendidikan anak-anak saya," kongsinya. 

 

Sementara itu, seorang lagi peserta, Marriani Che Mat, 38, berkata, pendapatannya meningkat lebih 900% dalam tempoh 3 bulan selepas program tersebut. 

 

Dia kini boleh memastikan 2 anaknya yang bersekolah dapat mengikuti kelas dalam talian mereka dengan betul. 

 

“Saya mahu anak-anak saya fokus kepada pelajaran yang penting untuk masa depan mereka. Program ini membantu saya menambah pendapatan dan akhirnya saya mampu untuk memasang WiFi di rumah dan membeli komputer untuk keperluan pembelajaran dalam talian anak-anak saya," kongsinya.

 

Melalui program ini, Mariani belajar untuk mengenal pasti peluang dan jalan yang boleh meningkatkan jualan.

 

Dia mula menawarkan kepak ayam panggang bersama menu roti bawang putih Korea dan mempromosikannya dengan menggunakan media sosial. 

 

Bukan itu sahaja, Marriani turut mempelbagaikan perniagaannya dan belajar menjahit pelitup muka untuk dijual. 

 

"Ini membolehkan saya memberi peluang pekerjaan kepada ibu-ibu tunggal yang menjadi ejen jualan," tambahnya.

 

 

Alliance Islamic
Rosambee Sulaiman memulakan kelas tuisyen sekali gus dapat membantu menambah pendapatan untuk keluarga.

 

 

Alliance Islamic Bank baru-baru ini berjaya menamatkan Program Pemerkasaan Ekonomi (EEP) selama 3 bulan membabitkan 50 usahawan mikro dalam kalangan B40. 

 

Hasilnya, ia menyaksikan purata pendapatan usahawan telah meningkat lebih 300% selepas menyertai program mentor berkenaan.

 

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Alliance Islamic Bank, Rizal IL-Ehzan Fadil Azim berkata, pihaknya sentiasa berganding bahu dengan masyarakat setempat untuk menggalakkan keterangkuman ekonomi dalam kalangan golongan miskin. 

 

“Melalui pelbagai rancangan bantuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ditawarkan oleh Alliance Islamic Bank, kami turut mewujudkan kerjasama dengan pelbagai pihak swasta, kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk sama-sama membantu membina daya ketahanan para usahawan mikro. 

 

"Kami amat berbangga kerana program ini telah berjaya melatih 50 usahawan mikro yang telah mencatatkan peningkatan dalam status sosioekonomi mereka,” katanya.

 

Program ini yang ditaja oleh Alliance Islamic Bank dan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan People Systems Consultancy (PSC), EEP melengkapkan para usahawan mikro dengan pengetahuan praktikal mengenai inovasi perniagaan, pemasaran, analisis pelanggan dan pengurusan kewangan supaya mereka dapat menyara hidup mereka walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar.

 

Selepas para peserta melengkapkan program ini, mereka melaporkan hasil yang positif dalam 4 aspek meliputi keluarga, kesihatan, taraf hidup dan impak komuniti. 

 

Didapati, 92% daripada peserta menyatakan bahawa mereka menggunakan pendapatan tambahan untuk meningkatkan taraf hidup dan menyumbang kepada masyarakat, manakala 90% pula berkata mereka mampu membeli makanan yang lebih berkhasiat dan akses kepada penjagaan kesihatan. 

 

Selain itu, 66% daripada peserta menyatakan kesan limpahan yang positif terhadap pendidikan keluarga kerana mereka kini mampu untuk membeli keperluan sekolah dan membayar yuran sekolah anak-anak. - DagangNews.com