KUALA LUMPUR 17 Ogos - CIMB Islamic Bank Bhd. bersama rakan program, Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Yayasan Belia Malaysia (YBM) menandatangani perjanjian kerjasama, yang akan menyaksikan kesinambungan Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur bagi edisi kedua menerusi konsep Wakaf Bertempoh.
Di bawah program itu, CIMB Islamic dan YWM komited menyumbangkan dana Wakaf sebanyak RM300,000 sebagai dana pemula melalui pengaplikasian konsep Wakaf Muaqqat (iaitu Wakaf Bertempoh) sejajar dengan matlamat iTEKAD yang mengutamakan penggunaan instrumen kewangan sosial Islam seperti wakaf, zakat dan sedekah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, menerusi pengaplikasian konsep Wakaf Muaqqat, dana wakaf yang dikumpul ini akan ditukarkan kepada motosikal (iaitu ‘Ayn Wakaf) danakan diserahkan kepada YBM secara Wakaf yang terikat selama 12 bulan (Wakaf Muaqqat).
Katanya, dalam tempoh perwakafan yang sama, YBM akan menyerahkan motosikal tersebut kepada peserta program sebagai 'Ariyah' atau pinjaman.
"Setelah tamat tempoh pewakafan, motosikal tersebut akan dihibahkan kepada peserta program setelah mereka berjaya menamatkan program mengikut terma yang dipersetujui.
"Produk Waqaf seperti ini kini amat dititik beratkan oleh pentadbiran hal ehwal Islam dengan matlamat untuk memberi manfaat kepada masyarakat yang memerlukan khususnya komuniti asnaf dan golongan B40," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian tersebut yang diadakan hari ini antara Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd Shariff; Ketua Pegawai Eksekutif YWM, Prof. Dr. Amir Shaharuddin, dan Ketua Pegawai Eksekutif YBM, Datuk Mustapa Othman
Turut hadir, Pengerusi YBM, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim dan Pengerusi CIMB Islamic, Datuk Mohamed Ross Mohd Din serta wakil-wakil dari rakan program iaitu Taylor’s Community and penyedia perkhidmatan penghantaran makanan atas talian, foodpanda Malaysia.
Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur menyokong inisiatif iTEKAD anjuran Bank Negara Malaysia yang menggerakkan kewangan sosial melalui sokongan aktif terhadap komuniti asnaf dan golongan B40 demi mencapai daya tahan kewangan yang stabil, di samping menjana punca pendapatan yang mampan.
Ia bertujuan untuk memberi para peserta peluang pekerjaan sebagai penghantar makanan di bawah naungan foodpanda Malaysia, berserta latihan kemahiran keusahawanan daripada Taylor’s Community.
YWM berperanan sebagai pengumpul dana Wakaf untuk program ini, manakala YBM merupakan penyelaras keseluruhan program dan juga bertanggungjawab menguruskan pemerolehan dan pengedaran motosikal kepada para peserta.
Program perintis sebelum ini bermula dengan kemasukan seramai 40 peserta dan telah meraih tindak balas positif daripada komuniti, program edisi kedua pada tahun ini bakal melihat seramai 50 peserta lagi mengambil bahagian.
Para peserta akan melalui proses temu duga, diikuti dengan sesi latihan selama empat hari yang akan menampilkan pelbagai aspek keusahawanan seperti pengurusan kewangan, kemahiran teknikal dan kesejahteraan emosi.
Sementara itu, Ahmad Shariman berkata, CIMB Islamic menyedari akan kepentingan Program iTEKAD CIMB Islamic Rider Entrepreneur, di mana ia menyalurkan bantuan ekonomi kepada para peserta yang terdiri daripada komuniti asnaf dangolongan B40, di samping memberi latihan kemahiran keusahawanan demi meningkatkan taraf hidup mereka.
"Sempena bulan Kemerdekaan dan sejajar dengan proposisi jenama baharu CIMB Group, ‘Melangkah Ke Hadapan Bersama’, kami kekal komited untuk terus menyokong inisiatif ini dalam usaha untuk memperkasakan ekonomi yang lebih mampan untuk kesemua para peserta dan sekali gus, menyemarakkan semangat keusahawanan di Malaysia," katanya. - DagangNews.com