Program Jualan Keluarga Malaysia bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia dapat sambutan menggalakkan | DagangNews Skip to main content

Program Jualan Keluarga Malaysia bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia dapat sambutan menggalakkan

KUALA LUMPUR 5 Mac - Program Jualan Keluarga Malaysia yang diadakan bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Johor Bahru mendapat sambutan menggalakkan dengan orang ramai memanfaatkan peluang membeli barangan keperluan asas pada harga yang lebih murah.

 

Program yang berlangsung di Dataran Angsana itu berlangsung selama tiga hari sehingga 5 Mac bermula dari 9 pagi hingga 8 malam dengan menawarkan pelbagai aktiviti seperti pameran dan perkhidmatan kerajaan yang disediakan secara langsung kepada Keluarga Malaysia.

 

Paling mencuri perhatian adalah minyak masak paket boleh didapati pada harga antara RM2 dan RM2.50 selain ayam dijual pada harga RM7.90 sekilogram berbanding RM8.90.

 

Pelbagai barangan disediakan termasuk beras lima kilogram pada harga RM10.90 berbanding RM13 sebelum ini selain ikan sardin, tepung, gula, bihun, hasil laut serta buah-buahan dijual pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

 

Ada yang sanggup beratur lebih dari 20 minit dalam cuaca terik untuk masuk ke tapak program berkenaan demi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mendapatkan barangan pada harga yang lebih rendah.

 

Seorang pengunjung Liza Rosli, 39, berkata, dia sanggup meluangkan masa memandu dari Kluang selama hampir dua jam bagi memastikan tidak terlepas peluang berharga itu.

 

pjkm

 

"Program berkenaan amat membantu golongan B40 untuk menikmati penjimatan antara 20% hingga 30%," katanya.

 

Salina Arshad, 48, dari Kulaijaya berharap, program seumpama itu dapat diteruskan bagi membantu mereka yang terkesan dengan kenaikan harga barang berdepan impak pandemik COVID-19.

 

Sementara itu, Shafirah Noor Shina yang menjaga gerai Angkatan Koperasi Malaysia (Angkasa) Coop berkata, pihaknya menjual lebih 15 barangan keperluan asas pada program tersebut dan sememangnya, minyak masak paket antara barangan yang perlu ditambah semula dengan cepat.

 

pjkm

 

“Bagaimanapun kami hadkan pembelian kepada dua paket bagi setiap individu,” katanya kepada Bernama. 

 

Selain Karnival Jualan Keluarga Malaysia, antara program dan aktiviti disediakan adalah sukan rakyat, E-sukan, program Jamin Kerja Keluarga Malaysia,  gerai usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta gerai Citarasa Keluarga Malaysia yang menyajikan pelbagai menu tradisi Johor.

 

Jelajah AKM merupakan kesinambungan kepada kejayaan dan sambutan memberangsangkan Program 100 Hari AKM di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Disember lepas, dengan objektif memastikan rakyat di semua peringkat memahami dan menghayati aspirasi Keluarga Malaysia. - DagangNews.com