Program Let's Learn Digital dilancar, MDEC jalin kerjasama dengan Facebook, Google dan LinkedIn | DagangNews Skip to main content

Program Let's Learn Digital dilancar, MDEC jalin kerjasama dengan Facebook, Google dan LinkedIn

 

 

KUALA LUMPUR 28 Julai - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melancarkan edisi kedua program Let's Learn Digital, bagi memperkasa kemahiran digital dalam kalangan rakyat di negara ini.

 

Dilancarkan di bawah inisiatif #mydigitalworkforce, program tersebut dapat membantu mereka lebih bersedia dalam suasana pekerjaan yang menuntut kemahiran digital ketika ini. 

 

Bagi tahun ini, program itu akan bermula dengan kursus Pemasaran Digital percuma dan pensijilan yang ditawarkan oleh LinkedIn, Facebook dan Google dengan kerjasama MDEC. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, dengan penggunaan digital yang semakin memacu perniagaan dan pengguna, permintaan terhadap kemahiran pemasaran digital semakin mendapat perhatian. 

 

Katanya, selari dengan komitmen MDEC untuk memperkasakan rakyat Malaysia dengan kemahiran digital, pihaknya sangat mengalu-alukan kerjasama dengan Google, LinkedIn dan Facebook untuk melancarkan program Let's Learn Digital tahun ini dengan menawarkan kursus-kursus pemasaran digital secara percuma.

 

"Inisiatif ini mencerminkan visi Malaysia 5.0 di MDEC bagi memastikan masyarakat kita terangkum dengan teknologi dan disemai dengan peluang digital yang sama rata kepada rakyat dan perniagaan, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

Kali pertama diadakan tahun lalu, program Let's Learn Digital menyaksikan kerjasama di antara Coursera menerusi Coursera Workforce Recovery Initiative yang diaktifkan akibat pandemik COVID-19.

 

Kerjasama dengan Facebook, Google dan LinkedIn ini menyasarkan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia melengkapkan diri mereka dengan kemahiran penting tanpa sebarang syarat mahupun had umur. 

 

Kursus-kursus tersebut akan ditawarkan sehingga 31 Oktober 2021 dan terbuka kepada semua.

 

Mereka yang telah melengkapkan kesemua modul adalah digalakkan untuk berkongsi pengalaman dan kejayaan mereka di media sosial dengan menggunakan tanda pagar #MDECLLD. 

 

Para peserta yang telah berjaya melengkapkan kursus mereka, boleh menerokai peluang pekerjaan dalam bidang pemasaran digital menerusi platform carian kerja Linkedin mahupun melalui inisiatif MyDigitalWorkforce Work in Tech (MYWiT) oleh MDEC. 

 

Malah, mereka juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik yang ditaja oleh rakan kerjasama program tersebut. - DagangNews.com