Program Smart Learning UPM tarik minat murid terhadap Bahasa Inggeris, Sains | DagangNews Skip to main content

Program Smart Learning UPM tarik minat murid terhadap Bahasa Inggeris, Sains

Program Pemerkasaan Sahsiah Pelajar serta Smart Learning anjuran UPM melibatkan penyertaan sebanyak 200 murid di Chenor, Pahang pada 15 hingga 16 Oktober 2022.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Nov - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar (PKPP) telah menganjurkan Program Pemerkasaan Sahsiah Pelajar serta Smart Learning di Chenor, Pahang pada 15 hingga 16 Oktober 2022.

 

Program yang membabitkan tiga buah sekolah rendah di daerah berkenaan merupakan inisiatif untuk memperkasakan penguasaan Bahasa Inggeris serta kemahiran dalam bidang Sains.

 

Program hasil kerjasama strategik antara PKPP, UPM dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Sekara itu melibatkan penyertaan 200 murid tahap dua daripada tiga buah sekolah, iaitu SK Sekara, SK Bukit Lada dan SK Bukit Bota.

 

Program yang berpaksikan elemen pemindahan ilmu itu diadakan bagi membantu meningkatkan kualiti pendidikan serta kemahiran pelajar sekolah rendah yang berkonsepkan 'belajar sambil bermain'.

 

Ia bagi menarik minat serta memberi kesedaran kepada murid tentang kepentingan bidang sains dan keperluan kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.

 

 

upm

 

 

upm

 

 

upm

 

 

Dalam ucapan majlis perasmian penutup, Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar UPM, Prof Madya Dr Omrah Hassan @Hussin mengingatkan semua murid bahawa pelbagai aktiviti permainan dan simulasi yang telah dilaksanakan boleh dijadikan platform untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris di samping membolehkan penciptaan inovasi dalam bidang sains. 

 

upm

 

 

upm

 

 

Program ini berjaya dikendalikan dengan lancar melalui penglibatan barisan fasilitator yang terdiri daripada 21 orang ahli Kelab Pembangunan Insaniah (INSAN) UPM menzahirkan komitmen untuk berbakti kepada masyarakat berpaksikan motto UPM, 'Berilmu Berbakti'. - DagangNews.com