Projek hartanah Lagenda Properties di Sungai Petani mampu tarik pembeli B40 - AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Projek hartanah Lagenda Properties di Sungai Petani mampu tarik pembeli B40 - AmInvestment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 18 Ogos - AmInvestment Bank Bhd. menjangkakan Lagenda Properties Bhd. akan memberi tumpuan kepada pelancaran baharu projek pembangunan di Sungai Petani, Kedah pada separuh kedua ini. 

 

Menurut firma itu, syarikat pemaju hartanah itu akan melancarkan 282 unit rumah teres setingkat pada suku ketiga bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) di bawah fasa pertama projek tersebut. 

 

Katanya, kumpulan meraih minat yang tinggi daripada pembeli bagi pembangunan projek terutamanya daripada segmen B40. 

 

"Kami optimis dengan penyertaan Lagenda dalam projek di Sungai Petani memandangkan saiz populasi penduduk yang lebih besar di daerah Kuala Muda berjumlah 545,000 berbanding 247,000 populasi di Manjung, Perak bagi projek Bandar Baru Setia Awan Perdana dan 142,000 di daerah Hilir Perak (projek Lagenda Teluk Intan). 

 

"Dengan harga permulaan di bawah RM200,000, kami percaya projek ini akan memberi tarikan kepada pembeli di Kedah terutamanya segmen B40, memandangkan Kedah memiliki campuran golongan B40 yang lebih tinggi berbanding negeri lain," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap Lagenda dengan nilai wajar tidak berubah pada RM1.88 sesaham. 

 

Menurutnya, kumpulan melancarkan lebih 3,000 unit dengan sebahagian besarnya terdiri daripada rumah teres dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM600 hingga RM700 juta pada suku kedua.  

 

"Kebanyakan hartanah yang dilancarkan adalah projek pembangunan sedia ada di Perak iaitu Bandar Baru Setia Awan Perdana 4A, Lagenda Teluk Intan 3A dan Lagenda Tapah.

 

"Berikutan lebih banyak pelancaran baharu, Lagendai dijangka merekodkan jualan hartanah yang lebih kukuh pada suku kedua FY22 berbanding RM148 juta bagi suku kedua FY21 dan RM145 juta pada suku pertama FY22," jelasnya.

 

AmInvestment berkata, projek Lagenda seterusnya akan disiapkan mengikut jadual kerana kumpulan telah memperoleh tenaga buruh yang mencukupi untuk projek sedia ada.

 

"Bagaimanapun, pihak pengurusan menyatakan adalah sukar untuk mendapatkan tenaga kerja baharu untuk projek akan datang. 

 

"Untuk mengurangkan kesan ke atas kekurangan buruh, Lagenda berhasrat untuk mengguna pakai sistem bangunan perindustrian untuk projek masa depannya," katanya. 

 

Lagenda juga katanya, tidak berdepan dengan impak kenaikan kadar faedah memandangkan 77% pembelinya terdiri daripada kakitangan sektor awam. 

 

Ini kerana menurutnya, majoriti penjawat awam memohon pembiayaan pada kadar tetap 4% daripada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

 

"Oleh itu, dengan gadai janji kadar tetap, kenaikan kadar faedah dijangka tidak menjejaskan permintaan untuk hartanah Lagenda," katanya. 

 

Setakat 10.24 pagi, harga sahamnya menokok 2 sen atau 1.71% kepada RM1.19 dengan 171,000 saham diniagakan. - DagangNews.com