KUALA LUMPUR 18 Dis - Myra, anak syarikat kepada Kumpulan OIB melancarkan kediaman Myra Dahlia, di bawah inisiatif Projek Perumahan Awam Malaysia (PPAM) di Taman Dahlia, Salak Tinggi, Selangor yang dijangka siap sepenuhnya pada 2027.
Myra Dahlia menawarkan unit-unit PPAM dengan harga kompetitif bernilai RM299,800 yang menyasarkan penjawat awam dan golongan muda yang telah berkeluarga.
Projek perumahan itu menyediakan pemilikan pegangan bebas jangka panjang merangkumi 432 unit PPAM dan 48 unit Rumah Selangorku di atas tanah berkeluasan 1.11 hektar, serta menawarkan variasi pilihan yang memenuhi keperluan setiap keluarga.
Ia juga menawarkan unit PPAM dengan nilai menarik, memberikan akses mudah ke bandar Kota Warisan, KLIA, KLIA 2 dan stesen ERL Salak Tinggi yang berhampiran.
Ketua Pegawai Pemasaran OIB, Beh Suan Sim berkata, Myra Dahlia bukan sahaja memberi peluang kepada pemilikan rumah, ia kuga merupakan perintis kepada pembangunan keluarga lestari.
Beliau berkata, pihaknya sedar pasangan muda sering berdepan cabaran mengimbangi urusan kerjaya dan keluarga.
"Projek ini menawarkan rumah yang berkualiti, menyediakan persekitaran yang memupuk ikatan kekeluargaan yang mana ibu bapa boleh meluangkan masa dengan anak-anak dan dapat mencipta kenangan bersama di rumah mereka sendiri," katanya dalam kenyataan media di sini.
Menurut Sim, pihaknya pasti bahawa kemudahan yang disediakan akan menarik golongan profesional muda dan keluarga dengan anak kecil khususnya yang berusia 8 tahun ke bawah yang menginginkan kualiti kehidupan lebih baik.
"Myra Dahlia adalah pilihan tepat bagi mereka yang mencari kediaman lestari di kawasan perbandaran yang sedang berkembang maju," katanya.
Pembeli Myra Dahlia boleh menjangkakan pelbagai kemudahan di Myra Dahlia termasuk, surau, laman barbeku, bilik mengajar dengan papan tulis, ruang untuk kerja jarak jauh, ruang serba guna, gim serba lengkap, kolam renang dewasa, kolam mandi cetek, taman herba, ruang permainan dan gelanggang serba guna.
Selain Myra Dahlia, pembangunan lain termasuk Myra Impian yang merupakan pembangunan bercampur dengan keluasan 8.18 hektar di Nilai, Negeri Sembilan menampilkan lima fasa dengan dua kediaman servis sesuai untuk golongan muda.
Manakala Myra Cove adalah pembangunan pinggir tasik seluas 4.45 hektar yang mengetengahkan kombinasi kondominium bertingkat tinggi dan rendah. - DagangNews.com