Projek saluran paip Pulau Indah PGB dijangka siap 2023 | DagangNews Skip to main content

Projek saluran paip Pulau Indah PGB dijangka siap 2023

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 April - Petronas Gas Berhad (PGB) memperuntukkan perbelanjaan modal (capex) sekitar RM1.2 hingga RM1.3 bilion bagi tahun ini.

 

Ketua Pegawai Kewangannya, Shariza Sharis Mohd Yusof berkata, peruntukan itu secara dasarnya adalah lebih tinggi berbanding RM1.1 bilion pada 2020. 

 

"Tahun lalu, kebanyakan aktiviti kumpulan terjejas akibat pandemik COVID-19 apabila perintah sekatan pergerakan (PKP) dikuatkuasakan. 

 

"Tetapi, kami menjangkakan tahun ini, ia akan meningkat semula sejajar dengan pengembangan kumpulan yang akan melaksanakan projek-projek baharu antaranya, pembangunan projek saluran paip sepanjang 42 kilometer," katanya. 

 

 

Petronas Gas AGM
Pengerusi Petronas Gas Berhad (PGB), Adnan Zainol Abidin (tengah) bersama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PGB, Abdul Aziz Othman (kiri) dan Ketua Pegawai Kewangan PGB, Shariza Sharis Mohd Yusof menunjukkan laporan tahunan kumpulan ketika sidang akhbar sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-38 hari ini secara maya.

 

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-38 hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi PGB, Adnan Zainol Abidin dan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PGB, Abdul Aziz Othman.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020, keuntungan bersih PGB menokok 3.8% kepada RM2.01 bilion berbanding RM1.93 bilion pada tahun sebelumnya. 

 

Perolehan PGB juga melonjak 2.5% kepada RM5.59 bilion daripada RM5.46 bilion pada 2019.

 

Mengulas lanjut mengenai pembangunan projek saluran paip 42 kilometer yang bernilai RM541.07 juta itu, Abdul Aziz berkata, ia akan membekalkan gas ke loji jana kuasa di Pulau Indah, Selangor yang dibangunkan Worldwide Holdings.

 

Beliau menjelaskan, projek berkenaan bukannya untuk membekalkan bagi kawasan perindustrian.

 

Setakat ini, katanya, projek ini berjalan dengan baik berdasarkan kerja-kerja yang dijalankan termasuk di bahagian kejuruteraan dan pengambilalihan tanah. 

 

"Kami menjangkakan projek ini akan mula beroperasi pada awal 2023," katanya.

 

Pada Mac lalu, PGB menganugerahkan kontrak kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pemasangan (EPCC) kepada kontraktor bagi projek saluran paip tersebut.

 

Bagi projek yang dinilai PGB, beliau memberitahu, beberapa projek tertumpu ke arah penyelesaian utiliti bagi taman perindustrian yang sedang dibangunkan di koridor ekonomi utara dan selatan.  

 

"Selain itu, fokus kami untuk melihat peningkatan potensi bagi kapasiti janakuasa tenaga, yang masih di peringkat awal," jelas beliau.

 

Mengenai prospek tahun ini, Abdul Aziz berharap dengan pelancaran program vaksin akan meningkatkan semula ekonomi sekali merangsang permintaan gas dan produk utiliti.

 

Beliau berkata, perniagaan kumpulan dijangka kekal kukuh disokong oleh kontrak jangka panjang yang diperolehnya meskipun berdepan persekitaran mencabar. - DagangNews.com