Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Dis. - Maybank Investment Bank Research menaikkan unjuran keuntungan bersih Cahya Mata Sarawak Bhd. (CMS) sebanyak 15% bagi tahun kewangan berakhir 2020.
Menurut firma itu, prospek CMS juga teguh memandangkan pengurusan berusaha untuk mengekalkan kedudukannya yang strategik.
"Bagaimanapun, risiko utama seperti pandemik COVID-19 yang menyebabkan perintah sekatan dilaksanakan, memberi kesan kepada perniagaan teras CMS.
"Namun, keadaan ini dimbangi dengan membuat pelaburan yang strategik," katanya dalam nota kajian.
Bagi tahun kewangan 2021 dan 2022, sebahagian besar pendapatannya tidak banyak berubah yang mencerminkan pemulihan kukuh, 38% pada 2021.
Maybank IB juga mengekalkan sasaran harga CMS pada RM2.50.
Katanya, CMS sepatutnya terus mendapat kelebihan daripada aktiviti pembinaan yang kukuh dijalankan di Sarawak.
Jelas firma itu, lembaga pengarah CMS semakin berada dalam kedudukan kukuh susulan pelantikan beberapa peneraju utama industri.
"Sejak Julai tahun ini, terdapat tiga lembaga pengarah dilantik menjadikan keseluruhan semuanya 10 orang," katanya.
Ini termasuklah bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Jurong Cement Ltd., Dr. Khor Jaw Huei; bekas Naib Presiden Perbankan di Citibank, Ho Heng Chuan dan Pengerusi Sarawak Economic Development Corp (SEDC), Tan Sri Dr. Abdul Aziz Husain.
SEDC memiliki pegangan 5.7% dalam CMS.
CMS merupakan satu-satunya pengeluar simen dan pembekal bahan pembinaan terbesar di Sarawak.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2020, CMS mencatat untung bersih sebanyak RM46.71 juta, melonjak 180% berbanding RM16.71 juta bagi suku sebelumnya.
Pada suku berkenaan juga, pendapatannya meningkat lebih dua kali ganda kepada RM428.42 juta berbanding RM206.84 juta pada suku kedua apabila syarikat kembali beroperasi sepenuhnya dengan perniagaan teras menunjukkan peningkatan. - DagangNews.com