Prospek jangka dekat Sunview menyerlah didorong CGPP, pacu pendapatan sehingga FY26 – MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Prospek jangka dekat Sunview menyerlah didorong CGPP, pacu pendapatan sehingga FY26 – MIDF Research

Gambar ihsan FB Sunview
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 Sept - Prospek Sunview Group Berhad dalam jangka terdekat akan didorong oleh Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP), yang akan memberikan keterlihatan pendapatan kumpulan sehingga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY26), menurut MIDF Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, selain daripada dua peruntukan 29.99MWac diperolehnya, yang mana ia akan melaksanakan keseluruhan skop kerja  kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), ia juga menyasarkan peluang EPCC untuk lima penerima CGPP lain.

 

“Kami menganggarkan bahawa ini akan menambah lagi pekerjaan bernilai RM550 juta pada buku pesanannya,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma itu menambah bahawa buku pesanan kumpulan kukuh pada RM472.7 juta, antara yang tertinggi dalam kalangan syarikat seumpamanya, terdiri terutamanya daripada projek solar berskala besar (LSS), yang kebanyakannya akan disiapkan menjelang FY24.

 

“Selain daripada prospek penambahan RM550 juta yang dinyatakan di atas, kumpulan itu juga mampu memperoleh kira-kira RM100 juta bagi projek solar atas bumbung, yang merupakan tugas rutinnya,” tambahnya.

 

Di samping itu, Sunview mempunyai rancangan untuk meneroka ke luar negara, melibatkan sebuah projek di Kemboja, dua projek di Indonesia berkapasiti 5MW dan 10MW, serta empat projek di Eropah Timur dengan kapasiti 10MW dan baki tiga lagi pada 3.5MW setiap satu.

 

Menurut MIDF Research, kumpulan itu mencadangkan penempatan persendirian sehingga 10% daripada saham terbitannya, atau sehingga 46.8 juta saham baharu, yang dijangka siap pada suku keempat tahun ini.

 

“Hasil akan digunakan untuk modal kerja projek EPCCnya, terutamanya untuk pembelian modul solar, penyongsang, kemudahan sambungan, sistem pemantauan dan struktur pelekap,” katanya.

 

Firma itu mengurangkan anggaran pendapatan untuk FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 9.6% dan 5.5% kepada RM19.8 juta dan RM27.5 juta untuk mengambil kira margin yang lebih konservatif.

 

Bagaimanapun, firma itu mengekalkan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) di semak naik kepada RM1.48 sesaham daripada RM1.32 dengan menambat nisbah harga-pendapatan (PER) sebanyak 25 kali, berdasarkan purata PER hadapan dalam kalangan pemain EPCC, kepada pendapatan sesaham (EPS) FY25 pada 5.9 sen.

 

Pada waktu penulisan, saham Sunview susut 0.5 sen atau 0.6% kepada 83.5 sen dengan permodalan pasarannya berjumlah RM390.8 juta. Setakat tahun ini, sahamnya telah melonjak 54.6%. - DagangNews.com