Prospek pertumbuhan Inari diunjur teguh didorong permintaan 5G, projek baharu – TA Securities | DagangNews Skip to main content

Prospek pertumbuhan Inari diunjur teguh didorong permintaan 5G, projek baharu – TA Securities

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 3 Jan - Prospek pertumbuhan Inari Amertron Berhad diunjur teguh didorong oleh permintaan 5G dan pelbagai projek baharu, kata TA Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ia kekal optimis ke atas prospek pertumbuhan Inari dengan pemangkin daripada tema 5G melalui segmen frekuensi radio (RF) terasnya, daya tarikan dengan usaha mempelbagaikan pelanggan, kemajuan usahasama Chinanya, dan keuntungan melebihi purata industri.

 

TA Securities berkata, dari tahun kewangan 2021 hingga 2023 (FY21-FY23), segmen RF menyumbang 59% hingga 60% daripada pendapatan Inari kumpulan.

 

“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan segmen RF Inari terus mendapat manfaat daripada dua faktor utama, iaitu permintaan kandungan RF yang lebih tinggi bagi setiap telefon pintar dan kitaran peningkatan telefon pintar 5G yang berterusan, dengan sebahagian penghantaran telefon pintar 5G di seluruh dunia diramalkan meningkat kepada 83% menjelang 2027 daripada 61% pada 2023,” ulas firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, firma tersebut berkata, Inari terus melihat daya tarikan dengan projek-projek baharu sebagai sebahagian daripada usaha mempelbagaikan pelanggannya, disokong oleh lencongan perdagangan.

 

Pada FY24, sumbangan pendapatan daripada projek baharu disasarkan sekitar RM150 juta (10% daripada ramalan pendapatan firma), dipacu oleh produk penyimpanan data dan penghantar-terima optik.

 

“Antara lain, pemangkin utama untuk produk ini termasuk platform kecerdasan buatan baharu muncul yang menuntut lebih banyak produk penyimpanan data dan penghantar-terima optik untuk menggerakkan pusat data.

 

Projek baharu lain yang sedang dijalankan termasuk LED berkuasa tinggi (untuk papan iklan, lampu pentas, pengawetan, hortikultur dan lain-lain) dan modul sistem (modul pengurusan kuasa bagi pelayan kuasa tinggi dan aplikasi perindustrian).

 

Di samping itu, TA Securities berkata, usahasama Yiwu Semiconductor International Corporation (YSIC) milik 54.5% milik Inari di China pula telah memulakan operasi dengan sumbangan sulung daripada pelanggan baharu bagi produk berkaitan aplikasi telefon pintar.

 

“Memandang ke hadapan, disokong oleh rakan kongsi Chinanya, China Fortune-Tech Capital Co Ltd (CFTC), kami menjangkakan YSIC mendapat manfaat daripada usaha berterusan penggiat sektor semikonduktor China untuk mempercepatkan penyetempatan rantaian bekalan mereka di tengah-tengah ketegangan perdagangan Amerika Syarikat-China,” tambahnya.

 

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan Inari dan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM3.55 sesaham.

 

Pada pukul 11:39 pagi ini, saham Inari telah susut 1 sen atau 0.3% kepada RM3 dengan permodalan pasaraanya bernilai RM11.2 bilion.  - DagangNews.com