KUALA LUMPUR 9 Dis – CGS-CIMB Research mengekalkan pandangan 'underweight' terhadap sektor petrokimia dengan saranan 'kurang' terhadap Lotte Chemical Titan Holdings Bhd. (LCT) and Petronas Chemicals Group Bhd. (PCG) berikutan dinamik harga kekal di bawah tekanan.
Antara kedua-dua syarikat ini, firma itu lebih menggemari PCG kerana ia menikmati kos bahan mentah dan urea yang lebih kukuh.
Penganalisisnya, Raymond Yap berkata, LCT adalah lebih lemah antara kedua-dua syarikat ini kerana ia terdedah kepada kos bahan mentah naphtha yang kekal tinggi dalam keadaan harga jualan yang lemah untuk polyethylene polymers (PE), polypropylene polymers (PP) dan monoethylene glycol (MEG).
Pada suku ketiga, LCT melaporkan kerugian suku tahunan yang tinggi di tengah-tengah spread rendah dan margin kasar negatif walaupun margin kasar negatif pada suku berkenaan, LCT terus mengeluarkannya bagi memenuhi keperluan pelanggan demi mengekalkan hubungan perniagaan.
PCG, sebaliknya, terus merekodkan keuntungan suku tahunan yang teguh pada suku ketiga (walaupun secara berurutan lebih rendah untuk suku kedua berturut-turut) disebabkan kos bahan mentah etana yang rendah dan pendedahan kepada harga urea yang tinggi (meskipun harga urea telah menurun daripada paras kemuncaknya).
"Risiko kenaikan kepada penarafan 'underweight' kami termasuklah berakhirnya perang Rusia-Ukraine yang akan menyebabkan kos naphtha menurun, sekali gus memanfaatkan LCT atau pengurangan penggunaan loji petrokimia oleh pengeluar kos tinggi yang boleh membantu meningkatkan keseimbangan permintaan-bekalan," katanya dalam nota kajian hari ini.
Harga sasaran bagi LCT dan PCG masing-masing kekal tidak berubah pada 94 sen dan RM8.37 sesaham.
Bagi PCG, Yap berkata, peningkatan dalam kapasiti pengeluaran dan bekalan petrokimia global dan potensi kelembapan dalam perbelanjaan pengguna global disebabkan oleh tekanan pada kuasa perbelanjaan daripada inflasi yang tinggi dan kenaikan kadar faedah boleh memberi tekanan kepada harga jualan petrokimia global walaupun kos bahan mentah kekal tinggi.
"Pemangkin penurunan termasuklah potensi harga petrokimia Asia menjadi sederhana memandangkan jumlah penambahan kapasiti baharu terkumpul petrokimia yang tinggi pada tahun 2022 mungkin menyebabkan imbangan permintaan-permintaan tidak menguntungkan bagi pengeluar.
"Ini juga termasuklah potensi permulaan loji Pengerang PCG mulai 2023-2024 dan seterusnya," katanya.
Sementara itu, bagi LCT pula, katanya, pemangkin penarafan semula termasuklah kapasiti tambahan petrokimian bagi 2022 hingga 2023 yang mungkin menghalang harga jualan petrokimia daripada meningkat secukupnya untuk menampung kos bahan suapan naphtha yang tinggi, serta kesan permintaan negatif daripada krisis kos sara hidup global.
"Pada masa hadapan, terdapat juga prospek persaingan yang semakin meningkat dengan PCG sebaik sahaja loji Pengerang beroperasi, yang mungkin mengakibatkan LCT kehilangan premium harga jualan polimer Malaysia biasanya sebanyak AS$50 hingga AS$100 satu tan berbanding penanda aras harga Asia Tenggara yang lebih luas," jelasnya. - DagangNews.com