Prospek suram Tune Protect, CGS-CIMB 'potong' unjuran untung bersih FY21 sehingga 60% | DagangNews Skip to main content

Prospek suram Tune Protect, CGS-CIMB 'potong' unjuran untung bersih FY21 sehingga 60%

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Nov - Kerugian yang direkodkan Tune Protect Group Bhd. bagi suku ketiga mencerminkan prospeknya yang suram dan sukar kembali pulih dalam tempoh terdekat. 
 

Ini menyebabkan CGS-CIMB mengekalkan saranan 'kurang' bagi sahamnya berikutan pemulihan yang lebih perlahan dalam premium insurans perjalanan (kepada paras sebelum COVID-19) dan caruman syarikat bersekutu yang lesu.

 

Penganalisisnya, Wilson Ng berkata, prestasi kewangannya pada suku berkenaan yang berakhir 30 September 2021 adalah mengejutkan dengan mencatat kerugian sebanyak RM1.7 juta menjadikan jumlah kerugian bersih bagi tempoh 9 bulan sebanyak RM2.9 juta berbanding untung bersih RM17.4 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Di sebalik kerugian tersebut, beliau menganggarkan Tune Protect sepatutnya merekodkan untung bersih sekitar RM7 hingga RM8 juta pada suku ketiga.

 

"Kami menganggap keputusan bagi tempoh 9 bulan ini adalah di bawah jangkaan berbanding anggaran keuntungan bersih setahun penuh kami dan konsensus dengan masing-masing sebanyak RM13.8 juta dan RM22.6 juta.

 

"Ini terutamanya disebabkan kerugian sebanyak RM4.5 juta menerusi caruman syarikat bersekutu dalam tempoh berkenaan (daripada Tune Insurance PLC, Thailand dengan pegangan 49%) berbanding anggaran positif kami sebelum ini berjumlah RM8 juta bagi tahun kewangan 2021 (FY21)," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Beliau menjangkakan Tune Protect akan kembali untung pada suku keempat dengan anggaran sekitar RM8.1 juta memandangkan sekatan pergerakan yang dilonggarkan akan menyumbang secara positif kepada premium insurans perjalanan. 

 

"Tetapi, kami masih menjangkakan kerugian sebanyak RM1.5 juta pada suku keempat bagi caruman syarikat bersekutu," tambahnya. 

 

Firma itu bagaimanapun mengurangkan unjuran untung bersih bagi FY21 sebanyak 62.3% memandangkan ia menganggarkan kerugian RM6 juta menerusi caruman syarikat bersekutu berbanding pertumbuhan positif RM8 juta sebelum ini. 

 

"Namun, kami menaikkan harga sasaran berdasarkan DDM kami bagi Tune Protect daripada 36 sen kepada 38 sen, memandangkan kami melancarkan TP hingga pada akhir 2022," jelasnya.

 

Dalam kenyataan semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Tune Protect, Rohit Nambiar menjangkakan kadar pemulihan akan meningkat pada 2022 disokong pembukan semula sempadan dalam kalangan negara ASEAN. 

 

Pertumbuhan perjalanan pula dijangka berterusan pada suku keempat 2021 dan 2022 memandangkan mandatori insurans perjalanan kian mendapat perhatian.

 

Setakat 11.05 pagi ini, harga saham Tune Protect susut 4 sen atau 7.84% kepada 47 sen dengan 1.64 juta saham diniagakan. - DagangNews.com