Prospek Yinson positif disokong permintaan kukuh bagi FPSO, RHB Investment kekalkan saranan ‘beli’ | DagangNews Skip to main content

Prospek Yinson positif disokong permintaan kukuh bagi FPSO, RHB Investment kekalkan saranan ‘beli’

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Jan - Prospek Yinson Holdings Berhad positif disokong permintaan global untuk kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) yang kekal teguh.

 

RHB Investment berkata ia kekal positif terhadap prospek kontraktor FPSO kerana mereka mendapat manfaat daripada terma kontrak yang lebih menggalakkan dan potensi pulangan projek lebih baik berikutan bekalan terhad.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Yinson berpotensi mendapat projek lain sebaik sahaja salah satu projeknya mencapai peringkat pengubahsuaian akhir dan ini boleh menunjukkan peningkatan yang lebih tinggi kepada penilaian firma.

 

Mengulas lanjut, firma tersebut berkata pemberian projek FPSO global disasarkan bersambung semula selepas terdapat sedikit kelembapan dalam pelancaran projek baharu, dengan andaian kes asas sebanyak 12 kontrak setahun dalam beberapa tahun akan datang.

 

Memandangkan bekalan terhad, firma itu berkata pelanggan dijangka terus menawarkan terma yang menggalakkan (termasuk bayaran pendahuluan dan kandungan tempatan yang lebih rendah) kepada kontraktor.

 

“Ini mungkin menghasilkan pulangan projek yang lebih baik secara umum. Dari segi pembiayaan, walaupun keperluan pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) lebih tinggi dilihat dalam institusi kewangan konvensional, kontraktor sedang meneroka alternatif lain seperti bon projek, pajakan kewangan dan kredit eksport.

 

“Terdapat trend baharu muncul, yang mana pengendali memiliki FPSO akibat pemajakan kontraktor tidak boleh dilaksanakan atau terlalu mahal,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Di samping itu, RHB Investment turut mendedahkan trend utama lain seperti pembinaan FPSO baharu yang kini menjadi kebiasaan, terutamanya untuk FPSO besar, dengan reka bentuk badan kapal standard untuk bahagian atas yang besar dan lebih banyak kontrak penempatan semula dijangka berlaku pada masa hadapan.

 

Firma penyelidikan itu menambah, FPSO masih memberikan peluang pertumbuhan terbesar dalam kalangan jenis sistem pengeluaran terapung (FPS), diikuti oleh gas asli cecair terapung (FLNG).

 

“Bagaimanapun, akses kepada kewangan, isu politik dan kapasiti industri merupakan halangan terbesar untuk pemberian projek luar pesisir baharu dalam tempoh 12 hingga 24 bulan akan datang berbanding kebimbangan sebelumnya iaitu harga minyak dan kos.

 

“Oleh itu, penglibatan awal dengan rantaian bekalan dan meluaskan pencarian pembekal baharu diperlukan semasa peringkat kontrak dan tender,” katanya.

 

RHB Investment mengekalkan unjuran pendapatan dan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM3.06 sesaham.

 

Pada pukul 9:53 pagi ini, saham Yinson telah naik 3 sen atau 1.2% kepada RM2.59 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM7.9 bilion.  - DagangNews.com