PT Resources berdepan risiko penamatan perjanjian operasi di Taman Pemprosesan Ikan Bersepadu Kuantan - RHB Research | DagangNews Skip to main content

PT Resources berdepan risiko penamatan perjanjian operasi di Taman Pemprosesan Ikan Bersepadu Kuantan - RHB Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - PT Resources Holdings Berhad berdepan pelbagai cabaran dalam perniagaan mereka pada masa hadapan termasuk risiko penamatan perjanjian operasi di kemudahan pemprosesan Taman Pemprosesan Ikan Bersepadu Kuantan (KIFPP).

 

RHB Research berkata, kumpulan itu juga berdepan risiko penarikan pelbagai sijil pengiktirafan domestik dan antarabangsa selain gangguan bekalan bahan mentah dan tukaran mata wang asing.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, KIFPP ialah projek yang dikenal pasti di bawah pelan induk pembangunan ekonomi Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) untuk menerajui pertumbuhan pemprosesan makanan laut dan industri hiliran berkaitan di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

 

Kedudukan PT Resources berhampiran KIFPP membolehkan mereka mengurangkan kos penghantaran dan masa dalam perolehan bekalan.

 

"PT Resources telah diberikan pengecualian cukai 100% ke atas pemprosesan dan perdagangan produk makanan laut sejuk beku.

 

"Kumpulan itu boleh menyediakan produk berkualiti secara konsisten kepada pelanggan kerana memiliki kemudahan pemprosesan yang lengkap terutama dalam kemudahan penyejuk beku untuk pelbagai jenis makanan laut.

 

"Ia juga memastikan bekalan makanan laut yang konsisten dengan mempunyai rangkaian pembekal terpelbagai yang terdiri daripada pemborong tempatan dan antarabangsa, ladang akuakultur dan perusahaan perikanan untuk memenuhi permintaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kumpulan itu sebelum ini memperoleh beberapa pensijilan pengurusan kualiti dan keselamatan makanan yang penting termasuk ISO 22000:2005, Hard Analysis Critical Control Point (HACCP), Good Manufacturing Practice (GMP), Skim Pensijilan Makanan MeSTI Secure dan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

 

Sementara itu, pendaftaran Akademi Pemeriksaan dan Kuarantin China (CAIQ) dan Pihak Berkuasa Makanan dan Dadah Saudi (SFDA) telah memberi peluang kepada kumpulan itu untuk mendapatkan manfaat peluang lebih besar di luar negara. 

 

"Pada FY22, jualan eksport kumpulan melonjak 155% kepada RM199.7 juta selepas berjaya menembusi pasaran China, manakala Arab Saudi merupakan pemacu jualan eksport utama pada FY20-22," katanya.

 

Firma itu mengunjurkan kadar pertumbuhana tahunan dikompaun (CAGR) sebanyak 16.2% dan menganggap PE sebanyak 8x kepada pendapatan dengan nilai wajar 37 sen sesaham. - DagangNews.com