Public Invest positif pasaran kereta di China yang kian pulih akan merangsang segmen jualan D&O Green Technologies pada 2HFY23 | DagangNews Skip to main content

Public Invest positif pasaran kereta di China yang kian pulih akan merangsang segmen jualan D&O Green Technologies pada 2HFY23

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 16 Mac - Public Invest Research kekal positif terhadap D&O Green Technologies Berhad (D&O) dan menjangka pertumbuhan jualan yang kukuh pada separuh kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23) akan dirangsang oleh pemulihan pasaran kereta, terutamanya kenderaan tenaga baharu (NEV) di China.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jangkaan tersebut adalah berdasarkan lanjutan pengecualian cukai pembelian NEV di China yang dilihat akan meningkatkan pasaran kereta negara itu.

 

Jualan runcit kenderaan penumpang di negara ini mungkin telah mencapai 1.35 juta unit pada bulan Februari, meningkat 7.2% tahun ke tahun (YoY) dan 4.3% bulan ke bulan (MoM), menurut nota firma itu yang memetik kenyataan China Passenger Car Association.

 

LED Smart RGB merupakan salah satu pemacu pertumbuhan utama tahun memandangkan firma itu menganggarkan ia akan menyumbang kira-kira 10% kepada pertumbuhan jualan syarikat semikonduktor itu pada tahun ini.

 

Di samping itu, LED paparan ‘direct-lit’ yang akan dilancarkan juga berpotensi besar dalam pasaran sejurus ia memasuki fasa pembuatan besar-besaran.

 

“Berdasarkan unjuran pasaran 800 hingga 1,000 LED unit lampu belakang (BLU) setiap panel untuk setiap kereta serta jangkaan bahagian pasaran sebanyak 25% pada aplikasi kereta mewah, produk itu berpotensi menyaksikan volum tahunan yang menggalakkan sebanyak 6 bilion keping,” katanya.

 

Walaupun prestasi kewangan syarikat terjejas bagi suku keempat tahun kewangan 2022 (4QFY22) akibat kadar penggunaan menyusut daripada 75% hingga 55%, firma tersebut percaya D&O boleh meningkatkan tahap penggunaannya kepada sekurang-kurangnya 80% tahun ini.

 

Di samping itu, kumpulan tersebut telah memulakan reka bentuk cip pertamanya yang telah menerima paten konfigurasi komunikasi daripada Amerika Syarikat pada November 2022 dan merancang untuk mengkomersialkan produk itu pada 2024 justeru mengurangkan risiko pergantungan tinggi pada bekalan cip untuk LED pintar.

 

Kumpulan itu juga mengembang ke dalam bidang perniagaan modul melalui anak syarikatnya, Dominant Electronics, yang telah memperoleh projek pemasangan papan litar bercetak (PCB) pertamanya daripada pemain automotif berpangkalan di China yang dijadualkan pengeluarannya pada Mac 2024.

 

"Pengurusan menjangkakan segmen baharu ini berpotensi menyumbang 10% hingga 20% kepada jualan kumpulan pada 2025 dan 2026,” katanya.

 

Menurut Public Invest, D&O merancang untuk memperketatkan pengembangan kapasiti tahun ini memandangkan ia mencukup sehingga suku ketiga tahun ini dengan peruntukan kira-kira 10% daripada pendapatan tahunan untuk perbelanjaan modal tahun ini pada suku yang sama.

 

Firma itu mengekalkan saranan ‘outperform’ dengan harga sasaran (TP) dinaikkan kepada RM5.78 berbanding RM5.16 sebelum ini. -DagangNews.com