Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 28 Okt. - Pelupusan tanah seluas 760.12 ekar yang dibuat Sime Darby Bhd dijangka mencatatkan keuntungan kira-kira RM250 juta, yang bersamaan dengan pertambahan pendapatan sesaham sebanyak 3.7sen pada tahun kewangan 30 Jun 2023.
Public Invest Research berkata, hasil daripada pelupusan itu mungkin sebahagiannya digunakan untuk membayar balik pinjaman jangka pendek dengan kesan kecil kepada penggearan Kumpulan dari 0.11 x hingga 0.10x.
"Kami positif terhadap perkara ini kerana ia membolehkan Kumpulan memberi nilai kepada aset bukan terasnya, dengan hasil sebahagiannya mungkin digunakan untuk membayar balik pinjaman jangka pendek.
"Tiada perubahan pada ramalan teras kami. Kami mengekalkan panggilan 'Outperform' kami pada Sime Darby dengan harga sasaran tidak berubah berasaskan SOTP sebanyak RM2.78," katanya dalam nota kajiannya di sini hari ini.
Sime Darby telah menandatangani perjanjian jual beli (SPA) dengan Sime Darby Property Bhd (SDP) untuk melupuskan tanah seluas 760.12 ekar di Malaysia Vision Valley (MVV) untuk pertimbangan tunai RM280 juta.
Pelupusan tersebut katanya adalah selaras dengan strategi Kumpulan untuk membuka kunci nilai aset bukan terasnya.
"Tanah yang dicadangkan itu merupakan sebahagian daripada MVV 2.0 yang telah dizonkan untuk pembangunan bercampur di Rancangan Tempatan Malaysia Vision Valley 2045.
"Kumpulan akan terus meneroka peluang pengewangan strategik berhubung dengan baki keseluruhan tanah MVV (kira-kira 7,934 ekar) untuk memastikan nilai maksimum untuk para pemegang saham," kata Sime Darby. -DagangNews.Com