KUALA LUMPUR 1 Mac - Public Investment Bank Research mengesyorkan para pelabur supaya menunggu untuk mendapatkan maklumat lebih jelas mengenai pelan pemulihan Capital A Bhd., yang sebelum ini dikenali sebagai AirAsia Group Bhd.
Ini mendorong firma itu mengekalkan penarafan sahamnya dengan saranan 'neutral' buat masa ini, meskipun melihat peluang dalam perniagaan bukan penerbangannya dan tarikan sebagai saham pilihan apabila sempadan antarabangsa dibuka semula.
Dalam nota kajian hari ini, penganalisisnya, Denny Oh masih berhati-hati terhadap status Nota Amalan 17 (PN17) kumpulan dan cabarannya untuk menangani situasi tersebut dalam tempoh terdekat dan sederhana walaupun permintaan dijangka meningkat seiring dengan pembukaan semula sempadan antarabangsa.
"Oleh itu, kami mengurangkan harga sasaran (TP) Capital A kepada 69 sen daripada 79 sen sebelum ini.
"Kami memberi penilaian ini setelah menilai lebih rendah perniagaan penerbangan kepada 4x EV/EBITDA bagi tahun kewangan 2023 (FY23) pada bahagian bawah, berbanding pemain serantau yang lain," katanya.
Menerusi laporan kewangan yang diumumkan semalam, kerugian bersih Capital A berkurangan kepada RM3.12 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21) daripada kerugian bersih RM5.11 bilion bagi tahun kewangan 2020.
Perolehan susut kepada RM1.73 bilion daripada RM3.27 bilion bagi tempoh yang sama. Teleport menyumbang 31% kepada perolehan syarikat manakala Super App dan BigPay merekodkan pertumbuhan perolehan yang stabil.
Kerugian bersih Capital A pada suku keempat berakhir 31 Disember 2021 pula berkurangan kepada RM884.09 juta daripada RM2.45 bilion yang direkodkan pada suku keempat tahun kewangan 2020, manakala perolehan melonjak kepada RM717.12 juta daripada RM328.39 juta.
Kira-kira 64% daripada perolehan kumpulan adalah melibatkan segmen penerbangan manakala lebihan 36% lagi disumbangkan oleh perniagaan digital.
Menurut Oh, pemulihan perjalanan udara dijangka berterusan sehingga 2022 didorong perjalanan udara di peringkat domestik dan antarabangsa pada separuh kedua.
Katanya, walaupun kadar pemulihan trafik penumpang udara masih tidak menentu, tetapi kumpulan mempunyai kecairan yang mencukupi untuk mengatasi kesan negatif pandemik dan meningkatkan operasinya sebaik sahaja sempadan dibuka semula sepenuhnya.
"Perniagaan digital kumpulan (superapp, Teleport dan BigPay) juga terus mendapat daya tarikan dan dijangka mengumpul modal baharu dalam masa terdekat.
"Namun, status PN17 dan harga minyak lebih tinggi menjadi faktor negatif utama kepada kumpulan. Tambahan pula, kumpulan tidak mempunyai kontrak lindung nilai bahan api sejak Mac 2021," katanya.
Setakat 11.38 pagi ini, harga saham Capital A menokok 0.05 sen atau 0.8% kepada 63 sen dengan 3.02 juta saham diniagakan. - DagangNews.com