PublicInvest jangka ECA Integrated Solution catat pertumbuhan lebih perlahan pada tahun ini | DagangNews Skip to main content

PublicInvest jangka ECA Integrated Solution catat pertumbuhan lebih perlahan pada tahun ini

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Jan - Public Investment Bank (PublicInvest) menjangkakan ECA Integrated Solution Berhad mencatatkan pertumbuhan lebih perlahan pada tahun ini berbanding jangkaan pertumbuhan dua angka sebelum ini disebabkan perbelanjaan modal (capex) yang lebih kecil.

 

Katanya, buat masa sekarang, nisbah buku tempahan kepada bil kurang daripada 1x, mencerminkan prestasi kewangan yang tidak memberangsangkan dalam jangka masa terdekat. 

 

Bagaimanapun, ia menjangkakan permintaan akan mula meningkat pada 2HFY24.

 

"Perniagaan sistem pengeluaran bersepadu (IPS) pada waktu ini mengalami kelembapan kerana kekurangan pesanan daripada pelanggan dan juga pemulihan yang lebih perlahan untuk beberapa projek utama disebabkan perubahan yang dibuat kepada keperluan produk.

 

"Pihak pengurusan sedang dalam perbincangan dengan bakal pelanggan bagi beberapa projek IPS berkaitan solar, elektronik pengguna, automotif dan aeroangkasa," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi segmen ATE, walaupun terdapat beberapa penolakan dan permintaan untuk penghantaran yang lebih lewat daripada pelanggan, ia dijangka menghasilkan pertumbuhan lebih kukuh pada FY24.

 

Katanya, kumpulan itu dijangka mendapat pesanan berulang daripada pelanggan sedia ada bagi produk pemeriksaan optik automatik tahun ini.

 

"Pihak pengurusan sedang dalam perbincangan dengan syarikat dari Eropah yang melibatkan dua bahagian utama, iaitu barisan IPS untuk pemain industri aeroangkasa dan fabrikasi struktur.

 

"Kami mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) lebih rendah sebanyak 58 sen berbanding 73 sen sesaham sebelum ini," katanya. - DagangNews.com