PublicInvest jangka sinergi antara IJM, Pestech beri manfaat besar kepada kedua-dua pihak | DagangNews Skip to main content

PublicInvest jangka sinergi antara IJM, Pestech beri manfaat besar kepada kedua-dua pihak

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Julai - Public Investment Bank (PublicInvest) menjangkakan sinergi antara IJM Corp Berhad dan Pestech International Berhad akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua pihak.

 

Firma itu berkata, IJM akan dapat memanfaatkan pengetahuan teknikal dan keupayaan Pestech dalam penghantaran tenaga dan elektrikal dan isyarat kereta api manakala Pestech boleh menghidupkan semula projek yang sedang berjalan dengan suntikan modal baharu IJM.

 

"Kami melihat, perkara utama terletak pada strategi pemulihan Pestech.

 

"Bagaimanapun, kami menjangkakan bahawa FY24 hingga FY26  akan menjadi tahun pemulihan pendapatan untuk Pestech," katanya dalam satu nota kajian.

 

Terdahulu, IJM  mengambil alih 44.83% pegangan dalam Pestech bernilai RM124 juta melalui terbitan terhad, menandakan kemasukan kumpulan pembinaan ke dalam sektor penghantaran tenaga.

 

Gabungan keupayaan Pestech dalam isyarat kereta api dan elektrifikasi juga melengkapkan portfolio rantaian nilai terpelbagai IJM.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, keupayaan gabungan kedua-dua kumpulan sebagai kontraktor sivil dan sistem membolehkan penawaran penyelesaian yang lebih komprehensif dan turnkey untuk tawaran projek rel tempatan dan antarabangsa.

 

Firma itu membuat kesimpulan bahawa IJM tidak akan terlibat dalam operasi harian Pestech.

 

Bagaimanapun, IJM mendedahkan bahawa mereka akan mempunyai sehingga dua kerusi dalam lembaga Pestech.

 

Di samping itu, IJM akan bertindak sebagai perunding untuk menyusun semula dan mengurangkan kunci kira-kira syarikat sasaran serta melaksanakan rangka kerja tadbir urus dan pengurusan risiko yang lebih kukuh.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) RM2.10 sesaham. - DagangNews.com