Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Nov - Penganalisis 'neutral' ke atas cadangan Chin Hin Group untuk membahagikan sahamnya sekali lagi melalui terbitan bonus 1-untuk-2.
PublicInvest Research berkata, cadangan itu merupakan yang kedua tahun ini sebagai cara untuk memberi ganjaran kepada pemegang saham Chin Hin.
"Kami 'Neutral' dalam perkembangan ini, walaupun kami mendapati harga saham telah melonjak 62% dalam tempoh sebulan yang lalu.
"Secara berasingan, kami mendapati bahawa Kumpulan telah melihat beberapa ukuran kejayaan dalam menangani operasinya yang merugikan sebelum ini apabila perniagaan kembali beroperasi pasca vaksinasi dan selepas peralihan ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional.
"Kami menaikkan anggaran pendapatan FY22/FY23 sebanyak purata 19% dengan mengambil kira sumbangan yang lebih baik daripada entiti tersenarai dalam syarikat lain yang stabil – Solarvest Holdings (SHB), Signature Kitchen (SIB) dan Chin Hin Group Property (CHGP)," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.
Tambah PublicInvest Research , pihaknya kekal optimis terhadap prospek Kumpulan dalam jangka masa sederhana hingga jangka panjang berdasarkan jangkaan pelancaran projek berkaitan pembinaan/infrastruktur pada tahun akan datang, sebagai tambahan kepada peningkatan sumbangan daripada ketiga-tiga anak syarikat yang lain.
"Kenaikan mendadak dalam harga saham mendorong kami menyemak semula dan menaikkan harga sasaran sesaham sebanyak RM1.92 berbanding RM1.35 sebelum ini.
"Kami mengekalkan panggilan Neutral kami pada saham Chin Hin," katanya.
Chin Hin mengumumkan cadangan terbitan saham bonus 1-untuk-2 dengan maksimum 500.7 juta saham boleh diterbitkan, selepas mengambil kira baki 116.4 juta saham yang masih belum diterbitkan menurut pelaksanaan penempatan persendiriannya yang diumumkan pada Disember 2020.
Menurut kumpulan itu, saham bonus akan dikeluarkan sebagai bayaran penuh, tanpa pertimbangan dan tanpa permodalan rizab syarikat. -DagangNews.Com